Manchester City 1-0 Chelsea
JARINGAN tunggal Carlos Tevez memastikan rekod tanpa kalah Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris lebur di tangan Manchester City di Eastlands sebentar tadi.
Sebelum perlawanan bermula, Chelsea tampil dengan reputasi tinggi apabila mencipta lima kemenangan berturut-turut serta merekodkan 21 gol dan hanya bolos satu gol sahaja.
Beberapa pasukan kerdil seperti West Bromwich Albion, Wigan Athletic, Blackpool, West Ham United, Stoke City menjadi mangsa belasahan skuad The Blues itu.
Bagaimanapun, aksi Chelsea ketika berdepan dengan skuad bimbingan Roberto Mancini itu ibarat pertembungan buku bertemu ruas.
Segala-galanya seperti tidak menjadi buat barisan kendalian Carlo Ancelotti itu sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Carlos Tevez sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ buat Chelsea apabila dia meledak gol kemenangan City pada minit ke-59.
Sekalipun tewas, kedudukan Chelsea di tangga teratas liga tetap tidak mampu digugat mana-mana pasukan untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.
Chelsea masih kekal mendahului pasukan lain dengan kelebihan empat mata. Manchester United yang bermain lewat sehari mungkin boleh mengurang jurang kepada satu mata jika berjaya menewaskan Bolton di tempat lawan.
Tags: Berita EPL, Carlos Tevez, Chelsea, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Manchester City vs Chelsea