DIDIER Drogba menjaringkan hatrik untuk membantu Chelsea memulakan kempen Liga Perdana Inggeris mereka dengan kemenangan berat sebelah 6-0 ke atas pendatang baru, West Bromwich Albion di Stamford Bridge, awal pagi tadi
Kejayaan Chelsea itu sekaligus meletakkan mereka di persada liga pada hari pembukaan yang turut menyaksikan sebuah lagi kelab baru, Blackpool mengalami nasib berbeza apabila membelasah Wigan Athletic 4-0 di tempat lawan.
Florent Malouda memulakan pesta gol Chelsea pada minit keenam dengan menjaringkan bola muntah hasil tendangan percuma Drogba yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Albion, Scott Carson.
Tendangan percuma Drogba seterusnya berjaya menemui jaring pada minit akhir separuh masa pertama dan pemain Ivory Coast itu kemudian menambah bilangan jaringan sepuluh minit selepas rehat untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Frank Lampard turut serta mencatat nama sebagai penjaring dengan gol keempat Chelsea pada minit ke-63 dan Drogba melengkapkan hatrik beliau lima minit kemudian selepas tendangannya terkena Gabriel Tamas lalu menerjah jaring Albion.
Malouda melengkapkan kemenangan dengan gol terakhir pada minit ke-90, memberi isyarat kepada lawan Chelsea yang lain bahawa mereka masih lagi berkuasa dan tiada simpati diberikan buat mana-mana kelab.
Tags: Berita EPL, Chelsea, Chelsea vs West Brom, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, West Bromwich