LIVERPOOL dan Chelsea bakal bertarung di Anfield lewat malam ini dengan The Reds berharap untuk meneruskan kebangkitan mereka dan mencatat kemenangan ketiga liga berturut-turut.
Liverpool telah berjaya menundukkan Blackburn dan Bolton sebelum ini walaupun mempamerkan persembahan yang tidak konsisten manakala Chelsea berharap akan dapat mengekalkan jurang lima mata di persada EPL walaupun mengalami masalah untuk mengulangi corak permainan mantap yang ditunjukkan pada awal musim.
Mereka sebaliknya memerlukan gol pada minit-minit akhir perlawanan untuk meragut tiga mata penuh di Blackburn Sabtu lepas.
The Reds kini semakin garang setelah Roy Hodgson mencatatkan kemenangan pertama beliau di tempat lawan musim ini di Bolton.
Ayam tambatan mereka, Fernando Torres masih kelihatan kurang bermaya namun kebijaksanaan beliau telah membantu Maxi Rodriguez menjaringkan gol dengan hanya tinggal empat minit sahaja lagi untuk kemenangan penting tersebut.
Kedua-dua Joe Cole dan Dirk Kuyt masih berpeluang untuk beraksi malam ini namun Cole kelihatan hampir pasti diketepikan menentang kelab lamanya itu sementara Kuyt pula bakal beraksi buat pertama kali setelah mengalami kecederaan sejak pertengahan Oktober.
Hodgson berkemungkinan besar menurunkan kesebelasan yang sama bagi membina kesepaduan dan menanamkan persefahaman di kalangan pemain-pemain beliau.
Selepas berjaya mendaki ke tangga ke-12 dan menjauhi zon penyingkiran, Steven Gerrard dan rakan-rakannya perlu menghasilkan persembahan yang lebih menyakinkan terhadap juara bertahan itu untuk mengembalikan maruah Liverpool yang telah tercalar dalam kempen liga terburuk mereka setakat ini.
Chelsea pula yang telah menikmati permulaan yang membanggakan dengan 25 mata daripada 10 perlawanan perlu sedar kerana menurut sejarah, hanya tiga pasukan yang memiliki jumlah mata yang sama seperti mereka setakat ini berjaya menjadi juara dalam tempoh 18 tahun Liga Perdana diperkenalkan.
Oleh itu, Carlo Ancelotti perlu mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak mengulangi persembahan yang sama seperti menentang Blackburn.
Kelab London itu masih lagi kehilangan khidmat Frank Lampard dan Yossi Benayoun maka mereka perlu berada di kemuncak prestasi ketika di Anfield nanti.
The Blues agak hebat bermain di tempat lawan, dengan 11 jaringan dan hanya bolos tiga kali, satu pencapaian yang agak membanggakan kerana tiga gol tersebut merupakan jumlah gol yang membolosi gawang mereka sepanjang musim ini.
John Terry dijangkakan akan terus bergandingan dengan Alex untuk mengatasi barisan serangan Liverpool setelah kedua-dua mereka gagal menyaingi kekuatan fizikal yang dimiliki barisan hadapan Blackburn tempoh hari.
Tags: Berita EPL, Chelsea, Chelsea vs Liverpool, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Liverpool