Torres ledak dua gol bantu Liverpool menang 2-0 ke atas Chelsea
PENYERANG sensasi Liverpool, Fernando Torres kembali menampilkan aksi berbisa apabila menjaringkan dua gol untuk membenam Chelsea 2-0 di Anfield manakala Arsenal pula dikejutkan juara divisyen dua musim lalu Newcastle United 1-0 di gelanggang sendiri.
Dua gol cantik oleh Torres pada minit ke-11 dan 45 separuh masa pertama berjaya menenggelamkan kehebatan anak buah Carlo Ancelotti sekaligus mengembalikan momentum kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. [LIHAT VIDEO]
Gol pertama hasil hantaran cantik oleh Dirk Kuyt kepada Torres dan kemudian disusuli gol kedua dengan gerakan solo serta sepakan lencong yang menarik membuktikan bintang Sepanyol tersebut masih belum hilang bisa.
Dalam satu lagi perlawanan liga, Arsenal terpaksa tunduk 1-0 kepada Newcastle menerusi jaringan tandukan oleh penyerang Andrew Carroll yang bermula daripada sepakan percuma oleh Joey Barton pada minit 45 separuh masa pertama. [LIHAT VIDEO]
Kesilapan penjaga gol Arsenal, Lukasz Fabianski dan corak permainan longgar oleh anak buah Arsene Wenger nyata membawa padah, malahan lebih memalukan lagi apabila tewas di depan penyokong mereka sendiri.
Dengan kemenangan itu, Newcastle berjaya mengekalkan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan liga berturut-turut dan harapan Arsenal untuk menjuarai liga musim ini nampaknya masih samar-samar jika aksi pada perlawanan ini dijadikan ukuran.
“Ia sangat mengecewakan kerana kami bermain buruk hari ini. Kami sangat tidak bernasib baik hari ini,” kata Wenger selepas perlawanan.
Di samping itu, Manchester City turut berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan menentang West Bromwich Albion hasil dua gol jaringan penyerang mereka, Mario Balotelli pada minit ke-20 dan 27 separuh masa pertama.
Namun, kehebatan Balotelli gagal ditonjolkan pada separuh masa kedua apabila dibuang padang selepas dilayang kad kuning kedua pada minit ke-63 dan jurulatih City, Roberto Mancini menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak adil dan akan melakukan rayuan nanti.
“Balotelli bermain dengan hebat. Pengadil tidak wajar memberinya kad merah. Berkemungkinan kami akan melakukan rayuan nanti,” kata Mancini.
Tags: Berita EPL, Chelsea, Chelsea vs Liverpool, EPL 2010/2011, Fernando Torres, Liga Perdana Inggeris, Liverpool