LIVERPOOL tumbang kepada Everton 0-2 dalam pertembungan Merseyside, malam tadi dengan era baru gergasi bola sepak England itu menuju satu permulaan yang amat mengecewakan.
Gol dalam setiap babak daripada Tim Cahill dan Mikel Arteta memastikan mata buat Everton yang beralih ke tangga ke-11 dalam kedudukan Liga Perdana sedangkan Liverpool tergelincir ke tangga kedua terbawah.
Dengan pemilik baru Amerika, John W. Henry menonton dari tempat duduk di Goodison Park, Liverpool tidak mampu mencipta kemenangan idaman penyokong mereka selepas drama undang-undang minggu lalu yang berkesudahan dengan pengambilalihan kelab itu.
Kekalahan itu bererti pasukan Roy Hodgson cuma meraih enam mata daripada lapan perlawanan tahun ini, membayangkan betapa besarnya tugas untuk memulihkannya dihadapi Henry dan kumpulan New England Sports Ventures (NESV).
Satu tempoh pembukaan yang haru-biru menyaksikan Everton mendahului pada minit ke-34 dengan pemain sayap Ireland, Seamus Coleman menyusuri sebelah kanan dan melorongkan buat Cahill yang merembat tinggi ke gawang melepasi penjaga gol Liverpool, Pepe Reina.
Gol itu tidak kurang daripada yang diidamkan Everton selepas mereka menguasai babak pertama yang kasar yang menyaksikan pengadil Howard Webb mengenakan kad kuning tiga pemain Cahill dari Everton dan Maxi Rodriguez dan Raul Meireles dari Liverpool.
Ayegbeni Yakubu memaksa penyelamatan pintar yang rendah dari Reina sejurus sebelum Everton mendahului manakala Reina terpaksa berwaspada sebaik sahaja separuh masa untuk menyelamatkan satu rembatan jarak jauh daripada Leon Osman.
Pakar bahagian tengah Sepanyol, Arteta menggandakan pendahuluan Everton, lima minit selepas rehat, merembat masuk satu sepakan kaki kanan yang melengkung dari hujung kawasan penalti.
Dengan masa semakin suntuk, Fernando Torres menyaksikan satu rembatan yang diselamatkan kemas oleh Tim Howard tetapi ia tidak mampu melindungi satu lagi kekecewaan petang itu buat penyerang Sepanyol ini yang tampak tidak menjadi langsung.
Tags: Berita EPL, EPL 2010/2011, Everton, Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Liverpool vs Everton