CARLO Ancelotti mengarahkan pemain Chelsea supaya mengikat pergerakan licik pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard, jika Blues mahu menang di Anfield, malam ini.
Skuad Ancelotti akan kekal dengan kelebihan lima mata sebagai peneraju Liga Perdana England, jika pulang dari Merseyside dengan kemenangan.
Namun, Blues beraksi di Anfield tanpa pemain tengah, Frank Lampard yang masih bergelut dengan masalah pangkal paha.
Dengan Michael Essien dan Florent Malouda masing-masing dijangka akan kembali beraksi, Ancelotti yakin pasukannya mampu menjelmakan kembali kemenangan seperti musim lalu ketika menentang Liverpool.
Dia yakin, trio tengah skuad Blues, Essien, John Obi Mikel serta Yuri Zhirkov, akan memainkan peranan besar untuk mengikat Gerrard.
Gerrard disifatkan oleh rakan pasukannya, Jamie Carragher sebagai pemain terbaik dalam sejarah Liverpool, selepas dia meledak hatrik ketika menentang Napoli dalam saingan Liga Europa.
“Masih tidak cukup jika kami beraksi pada tahap 90 peratus. Kami harus beraksi seratus peratus untuk menang di sana, kerana ketika ini Gerrard berada pada prestasi yang menakjubkan.
“Kemenangan tersebut (menentang Napoli) adalah penting dalam menambah keyakinan mereka. Jadi, kami harus bersedia untuk ‘berperang’ dan terus fokus dalam setiap perlawanan,” ujar Ancelotti.
Merujuk kepada kemenangan 2-0 ke atas Liverpool pada awal Mei lalu, Ancelotti berkata: “Ia merupakan antara perlawanan terpenting musim lalu, juga kunci kepada kejayaan kami memenangi kejuaraan liga.
“Namun, kali kini kami terpaksa berdepan dengan pasukan yang berbeza, kerana mereka telah bertukar pengurus.
”Mereka mengharungi sedikit masalah pada awal musim, tetapi mereka semakin meningkat dan memenangi tiga perlawanan terakhir.
“Mereka merupakan antara pasukan terbaik di England. Malah, suasana di sana (Anfield) sudah tentu hebat, mereka sentiasa mendapat sokongan dari penyokong mereka.
”Untuk menang di sana, kami harus melakukan yang terbaik.”
Ketika Chelsea menjulang tiga kejuaraan Liga Perdana dalam tempoh enam musim, Liverpool pula belum memenangi gelaran tersebut dalam tempoh dua dekad.
Ia ternyata membingungkan Ancelotti.
“Saya terkejut. Satu pasukan yang mampu memenangi Liga Juara-Juara, harus juga mampu memenangi Liga Perdana. Ia mengejutkan saya.
“Sesetengah kelab, seperti Milan mempunyai keyakinan apabila beraksi dalam Liga Juara-Juara, berbanding liga domestik mereka.
“Sukar sekali untuk menjelaskannya, tetapi inilah hakikatnya.
”Milan lebih selesa beraksi dalam Liga Juara-Juara dan Liverpool juga mempunyai sejarah dan tradisi sebegitu,” katanya.
Pengurus Liverpool, Roy Hodgson yang tertekan, sedikit lega apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Hodgson yakin, Fernando Torres akan kembali ke tahap aksi terbaiknya dan memberi amaran kepada pemain lain, supaya mempamerkan aksi terbaik, dengan membantu penyerang Torres dan Gerrard.
“Ia jaringan hatrik yang menakjubkan oleh Steven ketika menentang Napoli. Saya yakin dia akan memberi yang terbaik untuk perlawanan esok,” katanya.
Tags: Berita EPL, Carlo Ancelotti, Chelsea, Chelsea vs Liverpool, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Liverpool