PEMAIN remaja Arsenal, Jack Wilshere berikrar untuk menambahkan sengat di bahagian tengah skuad Arsene Wenger, dengan mengikut jejak legenda Gunners, Patrick Vieira.
Wilshere mencuri tumpuan kerana kemahirannya mempelbagaikan corak hantaran, sejak menyertai skuad Wenger musim lalu.
Dia kini disifatkan sebagai pewaris legasi Cesc Fabregas, jika bintang Sepanyol itu mahu meninggalkan Emirates.
Namun, pemain berusia 18 tahun itu, yang diramal akan disenaraikan dalam skuad utama apabila menentang Newcastle hari ini, tidak mahu dikenali hanya kerana memiliki skil licik, sebaliknya mahu menjadi penggerak bahagian tengah.
Wilshere menyertai Arsenal pada tahun terakhir Vieira di kelab itu dan walaupun kekurangan dari segi ketinggian, dia mampu memberi kelainan dengan aksi agresif untuk menambahkan lagi penguasaan pemain Perancis dalam Liga Perdana.
“Saya masih belajar ketika Patrick beraksi di sini dan saya fikir, cara dia memintas dan mengawal permainan adalah sesuatu yang mahu saya tambah dalam permainan saya.
“Kekuatan permainan saya adalah melalui hantaran dan kelemahan saya pula adalah kaki kanan, namun saya sedang berusaha memperbaikinya,” kata Wilshere.
Bekas bintang Arsenal, Liam Brady juga menjadi idola Wilshere, kerana corak permainan mereka yang hampir sama. Brady juga memainkan peranan terhadap Wilshere, kerana dia merupakan jurulatih kelab remaja Gunners.
Wilshere, yang beraksi ketika Arsenal kalah kepada Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu, mengambil nasihat dari Fabregas mengenai seni sebagai pemain tengah.
“Liam Brady merupakan contoh saya. Dia sentiasa berada dalam karier saya. Dia banyak membantu saya dan semua orang berkata, ‘saya bermain sepertinya’.
“Cesc berbincang dengan saya dan memberitahu apa yang perlu saya lakukan. Dia berusia 16 tahun ketika berada dalam keadaan seperti saya.
”Anda harus berbicara dengan pemain lebih senior sepertinya, tentu sekali ia akan membantu anda,” tambah Wilshere.
Sementara itu, rekod menentang Newcastle iaitu tiga kemenangan Liga Perdana berturut-turut, adalah yang pertama dalam tempoh dua tahun setengah.
Pasukan itu mahu merasai kemenangan di Stadium Emirates, setelah kalah lima perlawanan kepada Gunners sebelum ini, termasuk kalah 0-4 dalam Piala Liga kepada skuad muda Arsenal.
Tags: Arsenal, Arsenal vs Newcastle, Berita EPL, EPL 2010/2011, Jack Wilshere, Liga Perdana Inggeris, Newcastle