Tewas 0-2 pada aksi final kepada Pakistan tetap dapat pujian
IMPIAN skuad hoki lelaki negara untuk mengukir sejarah lebih gemilang dengan memenangi pingat emas lebur apabila tunduk kepada Pakistan 0-2 pada final di Stadium Hoki Aoti, petang semalam.
Kegagalan itu juga menyaksikan skuad bimbingan Stephen Van Huizen gagal merebut tiket automatik ke Sukan Olimpik London 2012, sebaliknya terpaksa beraksi dalam pusingan kelayakan untuk melayakkan diri selepas kali terakhir bermain di Sydney 2002.
Begitupun, keupayaan memenangi perak tetap pencapaian terpuji selepas aksi hambar di Sukan Komanwel bulan lalu, selain tidak pernah mara ke final dengan rekod terbaik meraih gangsa sebanyak tujuh kali pada 1962, 1970, 1974, 1978, 1982, 1990 dan 2002.
“Pemain kelihatan gugup apabila banyak melakukan kesilapan dan gagal menyudahkan beberapa peluang,” kata Stephen sejurus permainan tamat. “Mungkin ini perlawanan final pertama mereka,” katanya.
“Kecewa memang kecewa kerana kita bukan sahaja gagal memenangi emas tetapi juga melepaskan peluang terbaik untuk mara ke Sukan Olimpik. Begitupun, saya tetap bangga dengan pemain kerana berjaya mara ke final,” tambah Stephen.
Turun dengan sebahagian besar pemain membotakkan kepala kerana membayar nazar mara ke final buat julung kali, skuad negara tampak gugup dan gagal mempamerkan permainan tersusun seperti ketika menentang India, China dan Korea Selatan sebelum ini.
Kesempatan itu digunakan Pakistan apabila pakar pukulan sudut penalti, Sohail Abbas menjaringkan gol pertama dengan menyudahkan set piece pukulan itu pada minit ke-26.
Mereka kemudian menggandakan dan mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua tiga minit sebaik babak kedua bersambung menerusi Rehan Butt yang menyudahkan gerakan padang menewaskan penjaga gol S Kumar.
Tags: Final Sukan Asia, Hoki Sukan Asia, Malaysia, Malaysia vs Pakistan, Sukan Asia 2010