Penjaga gol Chelsea, Petr Cech mahu pasukannya layak ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila berdepan wakil Rusia, Spartak Moscow di Stamford Bridge, awal pagi nanti.
Jika Blues berjaya merakamkan kemenangan kedua selepas menang 2-0 pada pertemuan sulung di Moscow, bermakna mereka mengekalkan rekod bersih 100 peratus dalam saingan Kumpulan F untuk ke pusingan kedua.
Kemenangan itu juga akan menjadi bekalan semangat untuk berdepan Liverpool, Manchester United, Tottenham dan Arsenal dalam aksi domestik.
Chelsea pada masa ini selesa di puncak Liga Perdana dengan lima mata dan Cech berkata, dia mahu menewaskan Spartak untuk meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara di samping cemerlang dalam Liga Perdana.
”Apabila kita layak lebih awal, maka kita boleh bermain secara bergilir dan menyimpan tenaga untuk perlawanan seterusnya.
”Satu lagi kelebihan ialah kita bermain ketika menuju sambutan Hari Natal dan akan berdepan pasukan ‘Big Four’ yang lain.
”Ini masa terbaik buat kita apabila tiada saingan Piala Liga dan Liga Juara-Juara. Jika kita berjaya melalui sambutan Hari Natal dengan mengekalkan momentum yang baik, ia akan menjadi satu kelebihan buat pasukan ini.
”Musim lepas, rahsia kejayaan kita adalah disebabkan kejayaan kita menewaskan ‘Big Four’. Tahun ini akan berlaku perkara yang sama. Jika anda menang bermakna anda berjaya menjarakkan diri daripada ancaman mereka.
”Kita akan berdepan Manchester United, kita kena bertandang ke Liverpool dan bermain menentang Tottenham dan Arsenal,” katanya.
Tidak seperti mana-mana Liga Eropah yang lain, EPL tidak berhenti pada musim sejuk dan keadaan ini dikatakan meningkatkan semangat Chelsea untuk menyingkirkan cabaran Spartak.
Tags: Chelsea, Liga Juara Eropah, Prebiu, Spartak Moscow