MANCHESTER United membuka tirai musim Liga Perdana menentang Newcastle United awal pagi esok dengan pengurus, Sir Alex Ferguson, membentangkan keutamaan pasukannya - merebut mahkota Liga Juara-Juara Eropah.
Ferguson menekankan hanya dengan memenangi piala itu, pasukannya boleh melupakan kekecewaan tersingkir di peringkat suku akhir kejohanan musim lalu.
United terkeluar daripada pertandingan paling berprestij Eropah itu walau seri 4-4 dengan Bayern Munich setelah gol Arjen Robben di Old Trafford memberi pasukan Jerman itu kelebihan dari segi kiraan gol di padang lawan.
Menyusuli kekalahan tersebut, Ferguson secara terbuka melahirkan kekecewaannya dan nampaknya rasa kecewanya itu berlarutan hingga sekarang.
Lantaran itulah, beliau meletakkan matlamat menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebagai tugas utamanya musim ini.
Pengurus paling berjaya Eropah itu menambah United tidak bernasib baik dalam Liga Juara-Juara musim lalu dan berkata pasukannya mampu menjulang piala itu jika nasib menyebelahi mereka.
Walau meletakkan Eropah sebagai sasaran utamanya, Ferguson menekankan beliau tetap tidak akan melupakan kejuaraan di England.
“Setiap perlawanan begitu sengit. Musim ini, kami mempunyai enam atau tujuh pesaing. Jadi kita harus berusaha dengan gigih,” katanya menjelang pertarungan pembukaannya menentang Necastle.
Hakikatnya, hanya segelintir peminat Newscastle yang meletakkan harapan bagi pasukan pimpinan Chris Hughton mencatatkan kemenangan liga pertama mereka di Old Trafford dalam empat dekad.
Lebih-lebih lagi, selepas pasukan gergasi itu menghabiskan musim lalu di Liga Championship.
Hampir sembilan tahun berlalu sejak Newcastle mencatatkan kemenangan ke atas United dalam sebarang pertandingan dan sejak itu pasukan itu telah tewas 12 daripada 16 pertemuan.
Dengan muka baru, Dan Gosling, hanya dijangka sembuh daripada kecederaan Januari depan dan pemain pertahanan veteran, Sol Campbell, masih terkial-kial untuk mencapai kecergasan, Newcastle memikul tugas berat.
Hanya James Perch, yang berpindah dari Nottingham Forest, dijangka turun padang di Old Trafford.
Sementara itu, pemain England bawah-21 tahun, Andy Carrol, yang baru pulih daripada kecederaan bakal menerajui serangan Newcastle setelah diserahkan jersi ikon nombor 9.
Beliau akur kelabnya perlu berhati-hati meniti cabaran bermain sekali lagi di Liga Perdana.
“Kami tidak pasti apa yang akan berlaku musim ini. Mungkin kami akan mendapat kejutan manis, ataupun kecewa, kami kurang pasti,” katanya.
Tags: Berita EPL, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Manchester United vs Newcastle, Newcastle, Prebiu