PENYOKONG Arsenal berharap ketua pasukan mereka, Cesc Fabregas dapat beraksi di Stadium Emirates menentang Blackpool, hari ini.
Pemain tengah itu terlepas perlawanan minggu lalu ketika seri 1-1 dengan Liverpool, kerana masalah jangkitan virus pada kerongkong.
Sebelum ini, Fabregas direhatkan oleh pengurus kelab tersebut, Arsene Wenger setelah membantu skuad Sepanyol menjulang Piala Dunia 2010.
Arsenal yang mempertahankan pemain itu daripada menyertai Barcelona, masih memerlukan khidmat Fabregas bagi mengambil alih tugas pemain pertahanan tengah, Samir Nasri yang mengalami kecederaan kaki.
Wenger juga semakin sibuk kerana berusaha mendapatkan penjaga gol berpengalaman serta pemain pertahanan tengah, sebelum tempoh perpindahan pemain berakhir hujung bulan ini.
Pertahanan Perancis, Sebastian Squillacci yang bermain untuk Sevilla di Sepanyol dan penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer, merupakan antara pilihan Wenger.
Dalam pada itu, penyerang baru Arsenal, Marouane Chamakh perlu menggalas harapan Wenger, yang mahu pemain itu mempamerkan prestasi cemerlang pada musim pertamanya dalam Liga Perdana England.
”Chamakh pasti akan membantu Arsenal musim ini, sudah tentu dia mahu berada lama di sini,” kata Wenger.
Pada perlawanan minggu lepas, pemain pertahanan tengah pasukan itu, Laurent Koscielny dilayangkan kad merah.
Ini menyebabkan Wenger terpaksa membuat pilihan, sama ada menurunkan Johan Djourou atau Alex Song pada perlawanan menentang Blackpool.
Blackpool tidak boleh dipandang rendah dengan prestasi yang dipamerkan, apabila menang 4-0 ke atas Wigan minggu lepas.
Pengurusnya, Ian Holloway yang membawa masuk ramai pemain baru, sebelum bermulanya musim ini berharap perlawanan menentang Arsenal, akan menjadi lebih menarik.
”Saya telah menonton beberapa perlawanan Arsenal sebelum ini dan pasti menggembirakan jika dapat menjadi salah seorang daripada pemain pasukan itu, kerana bagi saya, Arsene Wenger seorang yang bijak.
”Sesiapa yang pernah bermain dalam pasukan itu tentu tahu peranan mereka, pemain mereka juga mahir dalam membuat hantaran bola apabila diperlukan.
”Saya dapat lihat struktur permainan mereka dan pemain memahami peranan masing-masing. Kami harap apabila beraksi di Emirates, kami tidak dimalukan dengan teruk kerana perkara tersebut mungkin terjadi,” kata Holloway.
Blackpool mendapatkan pemain pertahanan Israel, Dekel Keinan menerusi perpindahan percuma dari Maccabi Haifa, selain pemain penyerang Brett Pitman dari kelab Bournemouth. - Utusan Malaysia
Tags: Arsenal, Arsenal vs Blackpool, Berita EPL, Blackpool, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Prebiu