KEDUDUKAN teratas dalam Liga Perdana England kelihatan aneh sedikit.
Juara bertahan, Chelsea, berada di tangga teratas diikuti pasukan yang menjadi pilihan bakal diturunkan musim ini, Blackpool, selepas kedua-duanya mencatatkan kemenangan besar dalam perlawanan pembukaan mereka.
Meskipun Blackpool kini di tangga kedua atas perbezaan gol dengan Chelsea, laluan mereka mungkin berbeza sekali untuk baki musim ini.
Blackpool perlu bersedia kembali berpijak di bumi nyata apabila berdepan dengan Arsenal hari ini, sementara kecemerlangan awal musim Chelsea dijangka berterusan apabila mereka bertandang ke Wigan.
Hujung minggu lalu, Chelsea menunjukkan kehebatannya sebagai juara dengan membelasah West Brom 6-0 di Stamford Bridge. Kemenangan itu mengingatkan kembali persembahan mereka pada akhir musim lalu apabila mereka membenam Wigan 8-0.
Pemain midfield Nigeria Chelsea, John Mikel Obi, menegaskan bahawa pasukan pimpinan Carlo Ancelotti itu masih dahagakan kejayaan.
“Manchester United tentu akan berasa lapar untuk memenangi semula gelaran dan saya fikir Manchester City juga akan berada di tangga atas, tetapi kami juga mahukan gelaran ini dan ia adalah tugas kami untuk cuba mengekalkannya,” kata beliau.
“Bagi saya, sekali saya telah memenangi sesuatu, saya mahu menyimpannya. Cuma, jika anda sudah memenangi sesuatu, selalunya anda tidak lagi bersemangat.
“Pasukan yang benar-benar handal memenangi sesuatu berkali-kali dan itulah yang sama mahu Chelsea lakukan.”
Sekiranya gerakan Didier Drogba yang berupaya menghancurkan pertahanan West Brom mungkin dapat dijangkakan, tidak dapat dinafikan pula bahawa kemenangan 4-0 Blackpool - yang baru dinaikkan di Liga Perdana - di Wigan adalah antara keputusan yang mengejutkan pada tahun ini atau sebarang tahun lain.
Kegembiraan memenangi perlawanan penentuan dalam Liga Championship nyaris hilang begitu sahaja bagi Blackpool pada akhir musim yang terjejas dengan kegagalan mereka dalam pasaran pemindahan pemain serta kelewatan dalam membaiki padang yang memaksa mereka memindahkan perlawanan pembukaan di Bloomfield Road.
Namun, pasukan Ian Holloway, yang mengandungi para pemain yang tidak terkenal itu, dapat melupakan semua peristiwa tersebut untuk mencatat kemenangan besar.
Tetapi Blackpool digegarkan dengan peletakan jawatan pengurus Kayl Oyston pada baru-baru ini dan berita buruk mungkin menunggu mereka di Stadium Emirates apabila Arsenal cuba mencatatkan kemenangan pertamanya musim ini selepas terikat 1-1 dengan Liverpool dalam perlawanan pembukaan.
Sedang Chelsea membenam West Brom, Manchester United pula mencatatkan keput.san baik dengan mengalahkan Newcastle 3-0 di Old Trafford dan Sir Alex Ferguson tentu sekali mahukan anak didiknya mengulangi kejayaan itu di Fulham esok.
Selepas terlepas peluang mencipta rekod dengan memenangi Liga Perdana sebanyak 19 kali, Ferguson tentu mahu merampas semula mahkota liga kali ini.
Ryan Giggs akur bahawa semangat bos United itu masih lagi berkobar-kobar seperti kedua-duanya bertemu buat julung-julung kalinya 23 tahun yang lalu
Tags: Arsenal, Berita EPL, Chelsea, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Prebiu