Rooney tamatkan kemarau jaringan gol selama 5 bulan
MANCHESTER United tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh ketika berdepan West Ham United apabila mudah mengatasi lawannya itu 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Old Trafford awal pagi tadi.
Namun paling mencuri tumpuan ialah kejayaan Wayne Rooney menamatkan kemarau gol selepas gagal melakukan sebarang jaringan dalam tempoh lima bulan.
Rooney turut membantu Nani menjaringkan gol kedua United sebelum Dimitar Berbatov menghancurkan impian pelawat dengan gol ketiga United.
“Ia satu persembahan yang sangat baik, penguasaan bola kami agak bagus dan kami sepatutnya mendapat lebih banyak gol,” ujar pengurus United, Alex Ferguson.
Penyerang England, Rooney kebuntuan gol sejak penghujung Mac lepas sewaktu menentang Bayern Munich dan telah melalui 1,081 minit dan 13 perlawanan buat kelab dan pasukan kebangsaan tanpa sebarang gol.
Walaupun pengurus West Ham, Avram Grant mengarahkan Luis Boa Morte untuk mengunci pergerakan pemain veteran Paul Scholes, Nani muncul sebagai duri dalam daging West Ham dengan kelincahan dan kepantasan pergerakannya.
“Gol Nani memang cantik dan saya sangat gembira dengan persembahan secara keseluruhannya.
“Semua pemain mahukan bola, semua mahu menyumbang sesuatu dan mereka mempamerkan corak permainan berkumpulan yang baik,” tambah Ferguson lagi.
Tags: Berita EPL, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester United, Manchester United vs West Ham, Wayne Rooney, West Ham