MANCHESTER City bernasib baik untuk membawa pulang satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang Tottenham Hotspur dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris 2010/2011 di White Hart Lane, sebentar tadi.
Penjaga gol, Joe Hart muncul wira City apabila berjaya mengagalkan beberapa percubaan bahaya Tottenham sekaligus mengangkat status dirinya sebagai benteng nombor satu untuk kelab dan pasukan kebangsaan England.
Hart muncul sebagai pemain terbaik City untuk perlawanan ini setelah beberapa bintang besar seperti Carlos Tevez, David Silva, Yaya Toure gagal untuk mencapai persefahaman.
Penjaga gol berusia 23 tahun itu membuat kemunculan pertama kali dalam kesebelasan utama England minggu lalu.
Pengurus City, Roberto Mancini kelihatan sedikit sukar untuk menyenaraikan skuad terbaiknya setelah kelab sakan membeli pemain-pemain baru.
Akibatnya, pemain-pemain seperti Emmanuel Adebayor, Joleon Lescott dan Shay Given sekadar berada di bangku simpanan.
Tindakan Mancini untuk menurunkan Hart dibalas dengan aksi yang memberansangkan. Hart menyelamatkan percubaan jarak dekat Jermain Defoe, hasil dari tandukan Peter Crouch melalui hantaran Aaron Lennon.
Tom Huddlestone menguji Hart melalui tendangan padunya, turut gagal untuk menembusi pintu gol City.
Pengurus England, Fabio Capello yang berada di bangku penonton pasti gembira dengan aksi penjaga gol muda itu.
Namun sekebal-kebal Hart, beliau tewas dengan percubaan dari pemain bek kiri Tottenham, Gareth Bale.
Tetapi percubaan itu tidak menghasilkan gol untuk Tottenham kerana tendangan Bale terkena tiang gol meskipun Hart sudah tertewas.
Tiga pemain baru City, Silva, Yaya Toure dan Aleksandar Kolarov kelihatan masih janggal dengan cara permainan Liga Perdana Inggeris.
Mereka tampak tidak dapat menyesuaikan diri meskipun aksi mereka tidaklah begitu mengecewakan.
Percubaan Yaya Toure pada minit ke-38 mencemaskan seketika penjaga gol Tottenham, Heurelho Gomes meskipun beliau dapat menangkas kemas bola.
City membuat pertukaran dengan memasukkan Adam Johnson bagi menggantikan Shaun Wright-Phillips yang gagal menyerlah.
Tottenham pula memasukkan dua orang penyerang, Robbie Keane dan Roman Pavlyuchenko bagi mencari rentak serangan.
Pertukaran pemain kedua-dua pasukan nampak berhasil dengan masing-masing menambah lagi beberapa percubaan merbahaya di minit-minit akhir perlawanan.
Tags: EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Tottenham, Tottenham vs Manchester City