Chelsea buka tirai musim baru belasah West Brom 6-0
DI SEBALIK kemenangan besar aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas, jurulatih Chelsea Carlo Ancelotti menegaskan pasukannya memerlukan dua minggu lagi untuk mencapai kemuncak permainan.
Pasukan Ancelotti memulakan kempen mempertahankan mahkota EPL dengan begitu bergaya selepas membelasah West Bromwich 6-0 dengan penyerang utama, Didier Drogba menjaringkan hatrik manakala Florent Malouda menyumbat dua gol ke atas pasukan yang baru dinaikkan ke liga utama itu
Frank Lampard turut menemui sasaran bagi meneruskan kecemerlangan Chelsea semasa menjuarai liga pada perlawanan terakhir musim lalu dengan kemenangan besar 8-0 ke atas Wigan.
Sebelum ini, Ancelotti gusar barisannya itu belum bersedia menghadapi kempen musim ini setelah mereka tewas 1-3 kepada Manchester United pada aksi Perisai Komuniti minggu lalu.
Kini dengan kehadiran Ramires daripada Benfica yang sedia untuk beraksi pada perlawanan menentang Wigan hujung minggu ini, Ancelotti yakin lebih banyak peningkatan akan dipamerkan Chelsea selepas ini.
“Ini adalah mesej untuk kami, bukan kepada pasukan lain. Kami telah mengharungi pra musim yang sukar tetapi kini semuanya nampak baik. Tiada apa yang istimewa, kami cuma buat kerja kami.
“Kami sedar masalah akan timbul apabila memberi cuti panjang kepada pemain yang beraksi pada Piala Dunia 2010. Tapi mereka memerlukan tempoh pemulihan.
“Ashley Cole, Lampard dan John Terry mampu meningkatkan prestasi mereka. Dalam tempoh dua minggu lalu, mereka akan cergas 100 peratus.
“Didier Drogba melaksanakan tugasnya dengan baik dan bekerja keras, begitu juga dengan Florent Malouda dan Nicolas Anelka.
“Adalah penting mendapatkan komitmen serupa ini daripada pemain-pemain penyerang,” kata Ancelotti.
Ditanya tentang isu pembayaran bonus pemain, Ancelotti berkata: “Saya tak cakap dengan pemain hal itu. Saya tak berminat. Ia antara pemain dan pemilik kelab. Saya tak rasa mereka tidak gembira.”
Sementara itu, pengurus West Brom, Roberto di Matteo berkata, barisan pemainnya perlu segera menampilkan peningkatan jika tidak mahu mereka kembali turun ke saingan Liga Kejuaraan musim depan.
“Kami terpaksa berdepan juara bertahan pada hari pertama dan kami sedar ia tugas sukar. Biarpun jumlah jaringan ini sukar diterima, tapi tak banyak pasukan yang pulang berjaya dari Stamford Bridge.
“Tetapi kami perlu memastikan tidak memberikan gol-gol mudah dan perlu cepat belajar daripada pengalaman ini,” katanya.
Tags: Berita EPL, Carlo Ancelotti, Chelsea, Chelsea vs West Brom, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris