Ketangkasan penjaga gol selamatkan City dari dimalukan
PERBELANJAAN besar yang dikeluarkan Manchester City untuk membawa masuk beberapa bintang baru ke Eastlands belum menampakkan impak.
Ini kerana skuad kendalian Roberto Mancini itu sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi sulung Liga Perdana England menentang Tottenham Hotspur di White Hart Lane malam tadi.
“Saya tetap gembira dengan keputusan ini. Satu mata sudah baik daripada kami gagal mengutip sebarang mata.
“Perlawanan pertama sering menjanjikan saingan sengit dan itulah yang terjadi kepada kami dalam perlawanan ini,” kata Mancini.
Berdasarkan persembahan yang dipamerkan anak-anak buah Mancini, pengurus kelahiran Itali itu perlu menggarap ramuan lebih baik sekiranya mereka berhajat merangkul trofi liga musim ini.
Sekalipun City menurunkan tiga pemain bintang yang baru dibeli mereka iaitu David Silva, Yaya Toure dan Aleksandar Kolarav, Spurs pula dilihat tampil lebih bertenaga pada aksi semalam.
Meskipun seri, pengurus Spurs, Harry Redknapp ternyata berhak diberi pujian apabila percaturan yang dilakukannya berjaya memusnahkan impian City untuk mencatat kemenangan sulung.
Diketuai Gareth Bale di bahagian jentera serangan, Spurs memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi Jermaine Defoe dan Tom Huddle-stone.
Namun, ketangkasan yang dipamerkan penjaga gol City, Joe Hart berjaya menafikan peluang Spurs mencipta kemenangan di hadapan penyokong mereka sendiri.
“Saya harus memuji Joe kerana dia banyak menyelamatkan kubunya daripada dibolosi. Jika tidak kerana kehebatannya, kami mungkin boleh meraih tiga mata penuh,” kata pengurus Spurs, Harry Redknapp.
Tags: Berita EPL, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Tottenham vs Manchester City