JUARA Liga Perdana Inggeris, Chelsea, memilih Malaysia sebagai pusat latihan pra musim dalam program Jelajah Asia 2011 pasukan itu, demikian diumumkan oleh Ketua Eksekutifnya, Ron Gourlay.
Pada taklimat media mengenai program Jelajah Asia 2011 di sini hari ini, beliau berkata kelab itu akan mengadakan latihan selama seminggu di Malaysia sebelum mengadakan satu perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.
“Sebagai pusat latihan pra musim, pengurus pasukan Carlo Ancelotti akan memerlukan kemudahan kelas pertama dan kami tahu Malaysia akan menyediakannya,” katanya.
Gourlay berkata, Chelsea yakin dengan minat yang ditunjukkan oleh Malaysia dan berharap untuk mendekatkan lagi dengan peminat pasukan itu di negara ini.
“Sejumlah besar penonton menyaksikan perlawanan kami semasa Jelajah Asia 2008 dan dengan perlawanan akan datang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti 85,000 penonton, maka ada peluang untuk lebih ramai peminat akan datang untuk melihat aksi pasukan kami,” katanya.
Semasa Jelajah Asia 2008, Chelsea menewaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan di hadapan 55,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Selain Malaysia, pasukan itu turut menyenaraikan Thailand dalam program jelajah tersebut.
ProEvents International, sebuah syarikat pemasaran dan pengurusan bola sepak di Asia, sekali lagi dilantik sebagai promoter tunggal pasukan itu semasa jelajah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Julian Kam, berkata program menyeluruh akan dirangka bagi menyambut ketibaan Chelsea ke Kuala Lumpur termasuk harga tiket perlawanan, venue dan masa perlawanan. - Bernama
Tags: Berita EPL, Chelsea, Liga Perdana Inggeris, Malaysia
semasa chelsea berada di malaysia nnti.pemain2 malaysia ptt mengikut dan belajar cra latihan yg akan dpamerkn aleh pemain2 chelsea nnti supaya dpt meningkatkn mutu bola sepak di negara ini.