BREDE Hangeland berjaya menebus kesilapannya dengan memadamkan jaringan sendiri selepas menanduk masuk gol penyamaan buat Fulham untuk mengikat Manchester United 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Craven Cottage malam tadi.
Hangeland berjaya menukar skrip perlawanan dalam tempoh enam minit apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-84 dan berjaya menyelamatkan Fulham daripada mencatat kekalahan di tempat sendiri hasil tandukan gol seminit sebelum perlawanan tamat.
United tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Paul Scholes melakukan rembatan jarak jauh pada minit ke-11 menewaskan penjaga gol Fulham, David Stockdale selepas menerima hantaran pendek daripada Dimitar Berbatov.
Berbatov hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-21 apabila melepaskan rembatan kencang di dalam petak penalti selepas menerima hantaran Antonio Valencia namun Stockdale lebih bersedia untuk menepis bola keluar.
Penyerang United itu juga mempunyai dua lagi peluang pada minit ke-28 dan 29 namun gagal menemui sasaran, tatkala Edwin van der Sar beraksi cemerlang dengan menyelamatkan dua kali percubaan Dickson Etuhu di minit ke-31.
Aksi separuh masa pertama berakhir dengan United kekal mendahului Fulham 1-0, namun pasukan bimbingan Mark Hughes itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 melalui Simon Davies hasil gerakan menarik Damien Duff.
Tersentak dengan jaringan tersebut United berusaha untuk kembali di depan dan Berbatov memperoleh peluang terbaik pada minit ke-68 bagaimanapun rembatannya sekali lagi berjaya dihalang oleh Stockdale.
Kedudukan berubah pada minit ke-84 apabila sepakan sudut yang diambil Ryan Giggs cuba ditanduk ke belakang oleh pertahanan Fulham, Aaron Hughes namun rakan sepasukannya, Hangeland tertolak bola ke gawang sendiri.
Selang dua minit United sekali lagi memperoleh peluang untuk menambah jaringan selepas pengadil, Peter Walton menghadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena Duff di dalam petak penalti, namun sepakan yang diambil Nani berjaya ditepis Stockdale.
Seminit sebelum perlawanan tamat Hangeland berjaya menebus kembali kesilapannya apabila menjaringkan gol penyamaan buat Fulham apabila menanduk masuk sepakan sudut Duff.
Sementara itu Newcastle United berkenduri gol selepas membelasah Aston Villa 6-0 di gelanggang sendiri, untuk mencatat kemenangan pertama selepas kembali beraksi di EPL musim ini.
Bagaimanapun Villa melepaskan peluang terbaik mereka seawal minit kesembilan selepas Ashley Young dijatuhkan penjaga gol Newcastle United, Steve Harper di dalam petak penalti namun John Carew yang mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya.
Sebaliknya Joey Barton meletakkan Newcastle di depan hasil rembatan deras pada jarak 23 meter pada minit ke-12 sebelum gol kedua dan ketiga muncul dalam tempoh empat minit melalui Kevin Nolan (minit ke-31) dan Andrew Carroll (minit ke-34).
Carroll melengkapkan hatrik pada minit dengan dua jaringan pada separuh masa kedua (minit ke-67 dan masa kecederaan) manakala Nolan menambah gol kedua peribadi tiga minit sebelum perlawanan tamat.
Related posts
- Manchester United menuju gelaran 'treble'
- Ferguson kecewa Nani terlepas sepakan penalti
- Prebiu Fulham vs Manchester United
- Video: Fulham 5-2 Newcastle [EPL]
- Video: Arsenal 1-1 Fulham [EPL]
- VIDEO Fulham 2-2 Manchester United
- Hughes yakin Schwarzer kekal bersama Fulham
- Manchester United makin hampir
- Chelsea menang tipis ke atas Fulham
Main topics: Liga Perdana Inggeris
Sub topics: Berita EPL, Brede Hangeland, EPL 2010/2011, Fulham, Fulham vs Manchester United, Liga Perdana Inggeris, Manchester United