SELEPAS tampil cemerlang dengan menewaskan Inter Milan 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu, Tottenham Hotspur tiba-tiba dirundung malang.
Kelmarin, skuad kendalian Harry Redknapp itu dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Bolton Wanderers dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Reebok.
Jika sebelum ini bintang muda Spurs, Gareth Bale dianggap sebagai watak penting di atas kejayaan kelab itu tetapi kelmarin segala-galanya serba tidak menjadi buat pemain itu.
Bolton membuka tirai menerusi Kavin Davies pada minit ke- 31 sebelum Gretar Rafn Steinsson meledak gol kedua sebaik babak kedua bersambung.
Davies terus menambah derita anak-anak buah Redknapp apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan tersebut selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76, sekali gus meletakkan Bolton selesa mendahului dengan 3-0.
Begitupun, Spurs berjaya merapatkan jurang menerusi Alan Hutton dan Roman Pavlyuchenko selepas masing-masing meledak satu gol pada minit ke-79 dan 87.
Martin Petrov melengkapkan hari gemilang buat Bolton apabila dia berjaya menjaringkan gol keempat pada lewat babak perlawanan.
Tags: Berita EPL, Bolton, EPL 2010/2011, Liga Perdana Inggeris, Tottenham