Thursday, 14/10/2010

Prebiu Tottenham vs Manchester City

Published on August 14, 2010 by admin   ·   No Comments
  • Tottenham vs Manchester City
  • 14 Ogos 2010, 7.45 malam
  • White Hart Lane

KEBIJAKSANAAN pengurusan Roberto Mancini akan menjadi tumpuan apabila Manchester City turun menentang Tottenham Hotspur hari ini dengan pengurus dari Itali itu cuba mencari formula kemenangan untuk permulaan musim Liga Perdana.

Spurs mengetepikan City untuk kedudukan keempat musim lepas sekali gus meraih tempat terakhir ke Liga Juara-juara.

Namun sejak itu Mancini berbelanja dengan mewah di pra-musim apabila membelanjakan £80 juta (RM 395.2 juta) untuk mendapatkan pemain-pemain baru menjadikan pasukan berbakat dengan pemain dari pelbagai negara itu dicemburui di dalam Liga Perdana.

Antara pemain penting berjaya dibawa ke Eastlands ialah pemain Sepanyol David Silva (gambar), Yaya Toure daripada Barcelona dan pertahanan Jerman Jerome Boateng.

Manakala pemain sayap England James Milner dijangka melengkapkan perpindahan bernilai £26 juta (RM128.4 juta) dari Aston Villa untuk menguatkan pasukan Mancini. Namun pada masa ini pengurus dari Itali itu perlu fokus kepada kesebelasan utama menentang Spurs di White Hart Lane yang akan mencabar City untuk kelayakan Liga Juara-Juara dan maruah pada musim ini.

Apa yang terus menjadi teka-teki adalah posisi penjaga gol utama yang menjadi rebutan antara Shay Given dan Joe Hart.

Namun sesiapa yang tidak terpilih di dalam kesebelasan utama pastinya akan menyuarakan perasaan mereka dan menyukarkan Mancini yang turut berdepan tekanan untuk mencapai kejayaan.

Toure, Silva dan Boateng hampir pasti untuk membuat penampilan pertama mereka dengan Carlos Tevez dijangka mengetuai jentera serangan. Manakala peluang pemain seperti Micah Richards, Patrick Vieira, Shaun Wright-Phillips, Craig Bellamy, Robinho dan Emmanuel Adebayor masih tidak pasti.

Mancini sebenarnya kesuntukan masa dengan berkata: “Kami tidak dapat mengumpul semua pemain sebelum ini.

“Ramai yang bermain di Piala Dunia jadi ada yang memulakan pra-musim seminggu yang lalu.

“Sekarang pemain pergi mewakili negara untuk perlawanan antarabangsa dan ia adalah masalah yang besar. Saya tidak fikir semua pemain akan berada di tahap 100 peratus di dalam tempoh 20 hari selepas ini, namun ia adalah masalah kepada setiap pasukan yang mempunyai pemain yang bagus seperti kami.” Beliau bagaimana pun teruja dengan kempen yang akan bermula.

Pengurus Tottenham, Harry Redknapp turut sedar perlawanan itu adalah ujian yang paling sukar namun kepulangan Gareth Bale yang cergas sepenuhnya memberikan sedikit kelegaan walaupun tanpa khidmat Jonathan Woodgate dan Roman Pavlyuchenko.

Perlawanan itu juga bakal menyaksikan penampilan Ashley Young dari Aston Villa jika perjanjian perpindahannya sempat dilaksanakan serta William Gallas yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Spurs.

Redknapp berkata: “Anda tidak boleh mengharap kesukaran yang lebih untuk permulaan musim seperti ini.

“Kita semua tahu ancaman yang boleh diberikan oleh Manchester City pada musim ini jadi kita harus bersedia untuk itu.”

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Join Sokernet.com @ Facebook

Berita Berkaitan

Berita Terkini

Hak Cipta © 2010 Sokernet.com | Portal Bola Sepak Terunggul Di Malaysia.