Brazil Juara Piala Dunia 2002
May 28, 2010 by admin · Tulis komen
DUA gol jaringan Ronaldo memastikan Brazil bergelar juara Piala Dunia 2002 selepas menewaskan Jerman 2-0 pada aksi final kejohanan edisi ke-17 yang pertama kali dianjurkan di benua Asia.
Kemenangan itu juga menebus kehampaan Brazil yang tewas kepada Perancis pada perlawanan akhir 1998.
Ronaldo menjaringkan gol pertama pada minit ke-67 selepas rembatan jauh Rivaldo gagal ditangkap kemas Oliver Kahn, manakala gol kedua hadir 12 minit selepas itu.
Tuan rumah bersama, Korea Selatan yang mengejutkan ramai pihak selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir tewas 2-3 kepada Turki bagi penentuan tempat ketiga.
Penyerang Brazil, Ronaldo turut memenangi anugerah Kasut Emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol manakala Oliver Kahn merangkul Pemain Terbaik kejohanan.
Pasukan paling mengecewakan ialah Perancis yang tampil dengan reputasi selaku juara bertahan, namun tersingkir di peringkat kumpulan. Lebih aib Perancis pulang tanpa mampu menjaringkan sebarang gol dan berada di tangga tercorot kumpulan.