Prebiu: Paraguay vs Sepanyol

July 3, 2010 by  

PARAGUAY hanya melepaskan satu gol pada Piala Dunia setakat ini ketika pasukan itu seri 1-1 dengan juara bertahan Itali pada perlawanan pertama mereka.

Pada masa sama, mereka hanya berjaya menjaringkan tiga gol dan memerlukan sepakan penalti untuk mengetepikan Jepun pada pusingan kedua selepas terikat 0-0 sehingga ke masa tambahan.

Bagaimanapun, penyerang utama Roque Santa Cruz yang bakal menjana serangan pasukan apabila menentang Sepanyol dalam suku akhir, malam ini menyatakan adalah tidak adil membuat penilaian terhadap penyerang pasukan itu hanya berdasarkan empat perlawanan yang sudah dilalui.

“Semua penyerang boleh membuat asakan dari awal hingga ke kawasan gol lawan dan pada masa sama kita (penyerang) juga banyak membantu pertahanan.

“Walaupun jika kita bermain dengan tiga penyerang, kita tahu penyerang yang bermain di posisi kiri dan kanan akan banyak turun ke bawah membantu untuk cepat merampas semula bola bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan.

“Setakat ini ia amat berkesan. Peluang memang ada tetapi jika kita tidak menjaringkan gol ia bukan kerana kita tidak meneruskan momentum daripada pusingan kelayakan, ketika mana kita begitu mudah memperoleh gol untuk pasukan kebangsaan selama empat tahun,” katanya.

*****

SEPANYOL sudah kembali kepada prestasi asal selepas menewaskan Portugal 1-0 dalam saingan kelompok 16 terakhir dan segalanya menjurus kepada kelibat dua pengumpan bola yang hebat - Xavi dan Andres Iniesta.

Ia kini dianggap satu petanda baik, bukan saja menjelang perlawanan suku akhir menentang Paraguay, hari ini tetapi kepada enam lagi pencabar yang masih berbaki dalam kejohanan.

Dua tonggak Barcelona dengan ketinggian sama - 1.7 meter jelas menjelmakan perwatakan garang ketika menentang Portugal yang turut menghiburkan bekas jurulatih, Luis Aragones.

“Kita akhirnya melihat Sepanyol memperagakan permainan tradisi membabitkan umpanan bersih dan tepat,” katanya.

Bagi Aragones, dia melihat Iniesta sebagai inspirasi pasukan dan tunjang kekuatan mereka.

“Dia (Iniesta) adalah pemain yang bijak dengan hantaran yang boleh membantu rakan mencipta dan menjaringkan gol,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque percaya pemainnya sudah bersedia mencatat sejarah dan mereka boleh memulakannya dengan memenangi suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.

“Kami tahu kami dalam keadaan yang baik,” kata del Bosque kelmarin. “Sudah lebih 30 hari kami berlatih bersama sebagai satu pasukan dan saya rasa pemain mahu mencatat sejarah.”

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!