Prebiu: Argentina vs Jerman
July 3, 2010 by admin
Argentina dan Jerman seakan-akan sudah menghapuskan segala keraguan orang ramai mengenai keupayaan mereka pada saingan Piala Dunia 2010.
Namun, mereka kini mempunyai satu lagi misi penting apabila kedua-duanya akan bertemu pada saingan suku akhir, hari ini.
Ia merupakan cabaran getir buat dua pasukan ternama itu untuk melangkah ke pusingan seterusnya, sekali gus membuka ruang merangkul trofi termasyhur dunia.
Perang mulut antara dua pasukan tersebut tercetus, apabila pemain Jerman menuduh pemain Argentina kurang rasa hormat.
Jurulatih Argentina, Diego Maradona pula memperlekehkan pemain Jerman.
Legenda bola sepak dunia dari Argentina itu turut menyemarakkan lagi perasaan marah kem Jerman, apabila memperlekehkan skuad itu ‘hanya mencatat kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Argentina pada Piala Dunia sebelum ini’.
Bagi kem Argentina, dimalukan oleh Bolivia 1-6 dan tumpas kepada Brazil serta Paraguay sebelum berlepas ke Afrika Selatan, peminat setia skuad bimbingan Maradona itu berharap mereka mampu melangkah ke perlawanan akhir.
Argentina mempamer persembahan mengkagumkan selepas ditumpaskan oleh Sepanyol, dalam satu perlawanan persahabatan, November lalu.
Sejak itu, corak permainan Argentina bertambah meningkat dan menjadi antara pasukan pilihan untuk melakar sejarah di Afrika Selatan.
Mungkin kerana sentuhan ajaib daripada pemimpin ikon mereka, Maradona, Argentina kini telah mencapai sembilan kemenangan berturut-turut.
Ia sekali gus menjadikan Argentina sebagai sebuah pasukan digeruni dan lawan sentiasa berusaha untuk tidak bertemu dengan mereka.
Maradona telah berjaya memupuk suasana mesra dalam skuad, membina keyakinan di kalangan pemain dan menunjukkan kemahiran dalam mengurus pemain.
Tidak keterlaluan juga untuk menyatakan dia telah banyak membentuk bintang dunia, Lionel Messi menjadi lebih berbisa, meskipun penyerang Argentina tersebut belum menemui sentuhannya di Afrika Selatan.
Biarpun Messi mengalami kemarau gol, namun jentera serangan Argentina masih berbisa apabila Gonzalo Higuain dan Carlos Tevez muncul sebagai penyelamat.
Jonas Gutierrez mungkin boleh diletakkan di bahagian kiri bagi membantu Angel Di Maria, sekali gus menambahkan lagi sengat Argentina.
Pemain tengah berpengalaman, Juan Sebastian Veron bakal bergandingan dengan ketua pasukan, Javier Mascherano.
“Kami harus mencari sebuah pasukan terbaik. ‘Pasukan Gala’ akan diturunkan pada pertemuan menentang Jerman,” kata Maradona.
*****
SKUAD Argentina dilanda kebimbangan memikirkan kecergasan ‘ayam tambatannya’ Lionel Messi apabila penyerang kerdil Barcelona itu tidak turun menjalani latihan, semalam.
Argentina bakal bertemu Jerman dalam pertemuan suku akhir yang paling dinanti-nantikan di Cape Town, hari ini.
Pasukan Amerika Selatan itu mengatakan pemain berbakat besar itu hanya demam selesema dan dia dikeluarkan daripada latihan untuk tujuan berjaga-jaga.
Mereka mengatakan penyertaan Messi dalam perlawanan hari ini juga tidak diragui tetapi khabar angin yang tersebar di kalangan media melaporkan masalah yang melanda pemain berusia 23 tahun itu lebih daripada demam biasa.
Delegasi Argentina walau bagaimanapun enggan mengulas spekulasi tersebut, sebaliknya berkata, hidung pemain tersebut tersumbat.
Messi dikatakan menjalani latihan seorang diri di gimnasium sementara teman sepasukannya berlatih di luar.
Argentina dan Jerman bertemu sekali lagi selepas pertemuan empat tahun lalu di peringkat suku akhir apabila pasukan Eropah menang dengan sepakan penalti 4-2 selepas terikat seri 1-1.
Jurucakap pasukan, Andres Ventura berkata, Messi pergi ke University of Pretoria untuk menjalani latihan tetapi jurulatih Diego Maradona mengambil keputusan untuk menghantarnya pulang ke bilik untuk berehat.
Doktor pasukan Donato Villani berkata, Messi mempunyai simptom demam selesema tetapi tidak serius.
Villani berkata, Messi akan menjalani pemeriksaan secara keseluruhan hari ini.
Messi merupakan Pemain Terbaik FIFA dan masih belum menjaringkan gol di Afrika Selatan, namun dia merupakan perancang kepada enam daripada 11 gol yang dijaringkan Argentina.
Pemain pertahanan lawan, biasanya mengawal ketatnya dan itu meninggalkan ruang buat penyerang, Gonzalo Higuain dan Carlos Tevez.
Pemain ganti, Javier Pastore menggantikan tempat Messi dalam sesi latihan kelmarin, bermain dengan 10 lagi pemain.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!