Petanda kehebatan Jerman
June 15, 2010 by admin
JERMAN mengesahkan statusnya sebagai calon utama untuk menjulang Piala Dunia 2010 selepas membelasah Australia 4-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D, semalam.
Lukas Podolski dan Miroslav Klose masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan, sebelum dua lagi gol disempurnakan Thomas Mueller dan Cacau pada babak kedua.
Biarpun menghukum 10 pemain Australia dengan kemenangan terbesar dalam kejohanan setakat ini, jurulatih Jerman, Joachim Loew percaya masih ada ruang yang boleh diperbaiki pasukannya.
“Pertahanan kami bermain dengan hebat, persembahan mereka cukup cemerlang dan saya juga amat gembira dengan serangan balas yang kami atur.
“Bagaimanapun, kami perlu kurang merapatkan jurang di antara pertahanan dan bahagian tengah kerana saya rasa kadang kala kami bermain agak defensif, saya akan tengok perkara ini,’’ ujar Low.
Begitupun ujar Loew, dia gembira melihat pemain-pemain mudanya mempraktikkan segala strategi yang diatur dari awal sehingga ke akhir permainan.
Katanya, taktik mereka memaksa Australia banyak bertahan, sekali gus membuka peluang buat Jerman mengatur serangan.
Sementara itu, empat kali membenarkan gawangnya dibolosi sesuatu yang cukup untuk mempersoalkan kualiti skuad bimbingan Pim Verbeek di Afrika Selatan.
Kehilangan pemain tengah, Tim Cahill, yang dibuang padang pada minit ke-74 memburukkan lagi keadaan skuad Socceroos, yang sudahpun ketinggalan 2-0 sebelum meneruskan permainan dengan 10 pemain.
“Saya tidak sesekali menyalahkan pemain. Saya selalu memandang ke cermin dan berkata, adakah saya melakukan keputusan yang betul atau tidak?.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini kerana saya yang menentukan siapa kesebelasan utama. Apa pun, kami tidak harus tunduk kerana masih ada dua perlawanan perlu diharungi,’’ ujar Verbeek.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!