Prebiu: Slovenia vs Amerika Syarikat
June 18, 2010 by admin
AMERIKA Syarikat (AS) ternyata lebih tertekan berbanding Slovenia menjelang perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Ellis Park, Johannesburg malam ini.
Slovenia kini di kedudukan teratas kumpulan dengan tiga mata, selepas menang perlawanan pertama ke atas Algeria. Jika kalah, Slovenia masih berpeluang mara ke pusingan kedua tetapi bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir mereka menentang England yang dianggap lebih sukar.
AS perlu mengelak kekalahan, biarpun berjaya mengikat England 1-1 pada perlawanan pembukaan.
“Perlawanan menentang Slovenia bakal menentukan sama ada kami melepasi saingan kumpulan atau tidak,” kata pertahanan AS, Oguchi Onyewu.
Kekalahan akan meletakkan pasukan AS dalam situasi berbahaya dan berkemungkinan tersingkir. Lebih mudah sekiranya mereka menewaskan Slovenia untuk berentap di perlawanan terakhir kumpulan, menentang Algeria dalam keadaan lebih selesa.
Slovenia, sebuah negara yang hanya mempunyai dua juta penduduk, masih belum setaraf England dalam bola sepak antarabangsa tetapi reputasi mereka bertambah baik selepas mencatat keputusan mengejutkan ke atas negara di ranking lebih tinggi, dalam perlawanan penting.
Mereka menewaskan Russia dalam dua play-off untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Romania dan Ukraine juga gagal layak ke kejohanan besar ini selepas tewas kepada Slovenia.
Selepas tewas semua tiga perlawanan pada Piala Dunia 2002, Slovenia membuktikan mereka berjaya melakukan aksi lebih baik kali ini. Seluruh pasukan itu berterima kasih kepada ketua pasukan Robert Koren yang menjaringkan gol pada separuh masa kedua menentang Algeria.
“Tiba-tiba saja, peluang layak ke pusingan kedua bukan lagi satu kemungkinan, ia adalah sasaran kami,” kata jurulatih Slovenia, Matjaz Kek.
“Kami beroleh peluang merealisasikan impian selepas perlawanan kedua,” kata Kek kelmarin. “Jika layak, pastinya satu pencapaian sensasi, tetapi kami yakin mampu melakukannya.” Pasukan Slovenia semakin optimis dan yakin bahawa mereka mampu menewaskan AS. Begitupun Kek berkata pasukan lawan tetap pilihan untuk memenangi perlawanan, kerana mereka berada di kedudukan lebih tinggi ranking Fifa selepas muncul naib juara Piala Konfederasi tahun lalu.
AS kini di ranking ke-14, manakala Slovenia ke-25.
Selepas menjangkakan Slovenia memburu gol menerusi serangan balas pantas, ada yang mendakwa jurulatih AS, Bob Bradley akan menurunkan Jose Torres mengambil alih tempat Ricardo Clark dalam usaha menguasai perlawanan.
“Saya lakukannya ketika bersama kelab,” kata Torres yang beraksi untuk Eintracht Frankfurt di Bundesliga. “Saya gemar mengawal bola dan kelajuan perlawanan.” Sebagaimana AS yang memperoleh gol penyamaan menerusi kesilapan penjaga gol England, Robert Green, pasukan Kek juga diiringi tuah ketika menentang Algeria apabila jaringan Koren pada minit ke-79 melantun ke gawang selepas terkena lengan penjaga gol Fawzi Chaouchi.
Slovenia sememangnya kelihatan lebih kuat berbanding negara di benua Eropah Timur dan mereka bebas daripada sebarang kecederaan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!