Jerman 0 Serbia 1
June 18, 2010 by admin
SELEPAS Sepanyol, giliran juara tiga kali, Jerman pula menerima kejutan apabila ditewaskan Serbia 0-1 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Nelson Mandela Bay, sebentar tadi.
Gol kemenangan Serbia dijaringkan Milan Jovanovic pada minit ke-38, seminit selepas pemain Jerman, Miroslav Klose dibuang padang kerana mengutip dua kad kuning. [LIHAT VIDEO]
“Perlawanan babak kedua bukan 45 minit tetapi ia seperti dua tahun untuk kami,” kata Jovanovic. “Kami menewaskan Jerman selepas 37 tahun dan ini sesuatu yang amat besar bagi pasukan.
Jerman harus menyamakan kedudukan pada minit ke-60 selepas bola terkena tangan pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic dalam kotak penalti tetapi penjaga gol, Vladimir Stojkovic meneka tepat sepakan penalti Podolski dengan merebahkan badannya ke kiri.
“Kami mempunyai banyak masalah, dua kad kuning untuk Klose, lawan memperoleh gol pertama dan kemudian kami gagal menjaringkan gol daripada sepakan penalti - semua itu menyebabkan kami sukar bangkit,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew yang masih percaya pasukannya mampu mara ke kelompok 16 terakhir.
Jurulatih Serbia, Radomir Antic pula berkata: “Kad merah diterima Klose menyebabkan Jerman tempang tetapi kami amat positif dan bertenaga selepas saya dan pemain berada dalam tekanan tewas dalam perlawanan pembukaan.
“Kami kini boleh menentukan takdir kami sendiri.”
Apapun, Jerman masih mendahului Kumpulan D dengan mengutip tiga mata hasil dua perlawanan, mengatasi Ghana dan Serbia yang juga mengutip jumlah mata yang sama.
Bagaimanapun Ghana berpeluang untuk mendahului Kumpulan D jika dapat menewaskan Australia esok.
Jika Australia berjaya mencipta kejutan bermakna keempat-empat pasukan dalam Kumpulan D mengumpul jumlah mata yang sama.
Jerman akan menentang Ghana dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi menentukan nasib mereka pada kejohanan Piala Dunia kali ini.
ni satu lagi pasal org2 besar jerman suka perlekeh org lain… ha sekarang dah kena baru tahu langit tinggi rendah.. hari tu australia main 10 org boleh kau baham….. nanti lawan ghana jerman out world cup kali ni…