Lippi rimas skuad Itali digelar ‘kuda tua’
June 11, 2010 by admin
MARCELLO Lippi semakin rimas mendengar pemain Itali yang dibimbingnya kini terlalu tua untuk memenangi Piala Dunia sekali lagi dan dia tidak mengalu-alukan langsung rasa skeptikal terhadap skuadnya walaupun di tanah air sendiri.
Lippi menyelar kritikan terhadap barisan Itali sebaik dia mendarat di Afrika Selatan kelmarin, dan memohon supaya pasukan itu setidak-tidaknya diberi peluang membuktikan keupayaan mereka.
“Ya, saya mempunyai pemain tua tetapi karisma dan pengalaman juga datang dengan usia untuk bermain dalam perlawanan penting. Saya rasa kami mempunyai gabungan pemain muda dan tua yang baik,” kata Lippi.
“Kami mempunyai sembilan pemain daripada barisan 2006 - itu kurang daripada 50 peratus. Saya tidak pernah melihat ada pasukan yang menang Piala Dunia dengan 23 pemain baru selepas empat tahun.”
Tatkala Lippi terus mengekalkan pemain seperti Fabio Cannavaro yang sudah berusia 36 tahun dan Gianluca Zambrotta dan Mauro Camoranesi yang masing-masing mencecah 33 tahun, dia juga menyenaraikan pertahanan 23 tahun, Salvatore Bocchetti, Leonardo Bonucci dan Domenico Criscito.
Purata usia skuad Itali ialah 28 tahun 9 bulan.
Namun, beberapa pemain baru itu belum membuktikan keupayaan mereka dan kebanyakan pemerhati memilih Brazil, Sepanyol, Argentina dan England sebagai pasukan pilihan manakala penyandang juara itu jarang disebut-sebut.
Mengkritik pasukan kebangsaan sudah menjadi seperti satu sukan di Itali sejak beberapa minggu lalu.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!