Profil Pasukan: Brazil

June 1, 2010 by admin 

TAMPIL dengan status selaku juara terbanyak, Brazil sekali lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan pada kempen Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan, 11 Jun ini.

Untuk rekod, Brazil berjaya menjulang trofi Piala Dunia sebanyak lima kali dan merupakan satu-satunya pasukan yang layak beraksi dalam setiap kempen tersebut sejak ia mula diperkenalkan pada 1930.

Brazil yang kini dibimbing jurulatih tempatan, Dunga ada misi besar untuk dilaksanakan pada kempen yang julung kali diadakan di benua Afrika itu apabila bakal turun dengan matlamat menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam.

Dibarisi dengan beberapa pemain bintang dunia, skuad yang diberi jolokan The Selecao ini dilihat mempunyai peluang cerah untuk menjuarai kempen pada kali ini.

Brazil yang telah pun tiba di Afrika Selatan 27 Mei lalu dijangka bakal mengadakan dua perlawanan persahabatan sebelum memulakan kempen peringkat Kumpulan G menentang Korea Utara 15 Jun ini.

“Ia satu perkara yang sangat menarik bagi saya apabila dapat beraksi dalam kempen Piala Dunia dan juga berada di Afrika Selatan.

“Yang pasti, pemain-pemain pun merasakan perkara yang serupa dan kini bersedia menghadapi mana-mana pasukan yang akan menjadi lawan kami nanti,” jelas Dunga.

Brazil layak ke pusingan akhir Piala Dunia selepas muncul juara peringkat kelayakan benua Amerika Selatan apabila mengumpul 34 mata dengan mencatatkan sembilan kemenangan, tujuh seri dan hanya mengalami dua kekalahan.

Selain Brazil, empat lagi pasukan dari benua Amerika Selatan turut layak ke pusingan akhir iaitu Chile, Paraguay, Argentina dan juga Uruguay yang layak menerusi perlawanan playoff.

Biarpun keputusan yang dicatatkan pada kempen kelayakan itu boleh dianggap membanggakan, Dunga tidak mahu anak-anak buahnya terus dibuai mimpi dan menganggap 31 pasukan lain yang turut layak memiliki kekuatan berbeza.

“Pemain-pemain perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar yang harus dilaksanakan pada kempen Piala Dunia kali ini.

“Mereka perlu mempamerkan persembahan terbaik sepanjang kempen tersebut berlangsung dan tidak boleh sekalipun memandang rendah keupayaan pasukan-pasukan lain terutama pasukan kerdil,” katanya.

Jika pada kempen Piala Dunia sebelum ini, Brazil sentiasa mendapat liputan meluas daripada pihak media, lain pula ceritanya di Afrika Selatan kali ini.

Ini kerana Dunga terlebih dahulu memberi awal kepada pihak media agar tidak membuat liputan mengenai skuad bimbingannya itu dan melarang pemain-pemainnya diganggu ketika menjalani sesi latihan.

“Sebelum ini kami telahpun menerima banyak kritikan daripada pihak media walaupun tidak dinafikan bahawa kritikan-kritikan tersebut ada juga yang membina.

“Berilah kami ruang untuk memberikan tumpuan sepenuhnya pada kempen Piala Dunia kali ini kerana kami tidak mahu menghampakan harapan seluruh rakyat Brazil yang ingin melihat kami menjulang trofi tersebut.

“Kami mahu memberikan yang terbaik buat Brazil dan tidak mahu sebarang gangguan yang mana boleh memusnahkan impian tersebut,” kata Dunga lagi.

Dalam perkembangan lain, kem Brazil kini boleh menarik nafas lega apabila tonggak utama, Kaka sudah kembali menjalani latihan penuh bersama pasukannya itu.

Terdahulu, bintang sensasi Real Madrid itu terpaksa menjalani latihan berasingan daripada rakan-rakannya yang lain apabila ekoran kecederaan di bahagian otot paha kiri yang dialaminya.

“Saya percaya Kaka tahu apa yang perlu dilakukannya dan dia sendiri akan menentukan sama ada dia benar-benar pulih untuk turun beraksi,” tambah Dunga.

Pada kempen kali ini, Brazil menyenaraikan pemain-pemain bintangnya seperti Lucio, Felipe Melo, Gilberto Silva, Julio Baptista, Luis Fabiano, Robinho dan Nilmar yang mana kesemuanya dilihat mampu menentukan hala tuju skuad tersebut di Afrika Selatan nanti.

“Kami akan melakukan apa sahaja untuk menjadikan Brazil muncul juara pada Piala Dunia kali ini.

“Sekiranya kami perlu untuk bermain secara kotor kami pasti akan lakukan kerana dalam Piala Dunia apa yang penting adalah dengan mencatatkan kemenangan.

“Saya kini berada pada prestasi terbaik untuk menjaringkan gol dan saya akan memberikan persembahan terbaik bagi membantu Brazil muncul juara,” kata penyerang Brazil, Fabiano. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN BRAZIL)

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!