Korea mahu akhiri badi kekalahan

June 26, 2010 by  

KOREA Selatan akan cuba untuk menamatkan badi tanpa menang dalam lima perlawanan lalu menentang Uruguay apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan pusingan kedua kalah mati, malam ini.

Uruguay kini mendahului dengan rekod 4-1-0 ke atas lawan mereka termasuk kemenangan 1-0 pada Piala Dunia 1990 apabila Daniel Fonseca menyumbat gol pada minit ke-90 yang membantu pasukan dari Amerika Selatan itu layak ke kelompok 16 terakhir pada tahun berkenaan.

“Kami sudah menyaksikan beberapa perlawanan Uruguay dan mereka memang ada kualiti dan kuat di udara. Persembahan mereka di peringkat kumpulan sudah cukup sebagai bukti kami akan berdepan halangan sukar nanti,” kata ketua pasukan dan bintang Manchester United, Park Ji-sung. “Kami harus bersedia dengan baik.”

Antara pemain lawan yang dipercayai harus dirantai gerakan adalah Diego Forlan yang banyak membantu menjana serangan pasukan.

Ini kali kedua Korea Selatan layak ke pusingan kedua dalam lapan kemunculan Piala Dunia selepas berjaya pada 2002 apabila mereka mengejutkan peminat global layak ke separuh akhir di halaman sendiri.

Forlan yang menyumbat 32 gol untuk Atletico Madrid sudah menjaringkan dua gol untuk Uruguay dalam Piala Dunia di Afrika Selatan.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez tidak begitu gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali sejak 1990.

“Kami ada saat buruk dalam permainan tetapi ada juga saat yang gembira,” kata Tabarez. “Ia menjurus kepada kekurangan pengalaman.”

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!