Itali tersingkir tanpa catat kemenangan
June 26, 2010 by admin
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Itali, Giancarlo Abete telah meminta satu bedah siasat yang serius dilakukan terhadap pasukan kebangsaan negara itu selepas juara bertahan tersebut tersingkir awal di Piala Dunia.
Skuad Itali tewas 2-3 kepada Slovakia, kelmarin sekali gus menyaksikan pertama kalinya skuad Azzurri tersingkir daripada Piala Dunia tanpa memenangi sebarang perlawanan, malah juara 2006 itu juga tidak memenangi sebarang kejuaraan tahun ini.
“Kami semua tahu pentingnya bola sepak di negara kami dan kami sudah mengecewakan jutaan peminat.
“Kita harus realistik, ini adalah fakta dan kami perlu merenungkan krisis yang melanda pasukan bola sepak kebangsaan Itali,” kata Abete, kelmarin.
Abete akan memperkenalkan jurulatih baru Itali, Cesare Prandelli pada 1 Julai ini dan beliau turut menegaskan bahawa bekas pengurus Fiorentina itu akan memimpin pasukan untuk beraksi di Piala Dunia 2014.
“Kami harus mengembangkan strategi untuk memulakannya kembali, masalah ini tidak bermula kelmarin.
“Ia sudah berlaku sebelum ini dan Kami akan memainkan peranan untuk memulakannya kembali,” tambah Abete.
Sembilan pemain dalam skuad Itali sekarang berusia 30 atau lebih, dipimpin oleh kapten yang berusia 36 tahun, Fabio Cannavaro dan Prandelli akan mungkin akan menukar situasi tersebut.
“Prandelli dipilih berdasarkan kemahirannya bekerja dengan pemain muda.
“Dan perlu diingat bahawa kami menandatangani kontrak empat tahun bersamanya, Kami melihat untuk jangka masa yang panjang,” kata Abete.
Dalam pada itu, Abete menyatakan kesalnya apabila Liga Seria A Itali dibarisi sebahagian besar pemain asing.
Beliau merujuk kepada Inter Milan yang menjuarai liga tanpa seorang pun pemain Itali berada dalam kesebelasan utama mereka.
“Masalah ini tidak hanya melibatkan bola sepak di Itali, ini adalah masalah seluruh negara Eropah.
“Kami kekurangan pemain yang berpengalaman di peringkat antarabangsa,” tegas Abete.
Menurut Abete, beliau akan mengutamakan pembangunan pemain muda dan meningkatkan hubungan dengan kelab-kelab di negara itu, jurulatih dan program pemain muda.
“Kesatuan Eropah dan UEFA juga harus menyedari masalah ini, kerana jika kita tidak boleh membangunkan sukan ini lebih baik, risiko tidak akan menjejaskan hanya satu atau dua persekutuan, tetapi semua pasukan Eropah.
“Kami sudah melihat kekuatan pasukan Eropah bersaing di Piala Dunia tidak sebaik kekuatan yang dipamerkan pasukan Amerika Selatan,” katanya..
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!