Paraguay teruskan kehebatan Amerika Selatan
June 25, 2010 by admin
PARAGUAY menuruti jejak langkah dua pasukan Amerika Selatan apabila muncul juara Kumpulan F walaupun sekadar seri 0-0 dalam pertemuan dengan New Zealand di Stadium Peter Mokaba, malam tadi.
Dengan rekod satu kemenangan dan dua kali seri, ia sudah memadai buat Paraguay mengatasi Slovakia yang berada di tangga kedua dengan empat mata.
Sebelum ini dua wakil Amerika Selatan, Uruguay dan Argentina masing-masing mengungguli kumpulan masing-masing, sekaligus mengelak pertemua sesama sendiri di peringkat 16 pasukan terakhir.
Dua lagi pasukan dari benua itu, Brazil dan Chile bakal menentukan nasib mereka malam dan awal pagi esok dengan Brazil dijangka mampu menjuarai Kumpulan G.
Sementara itu, New Zealand yang meninggalkan Piala Dunia 2010 tanpa sebarang kekalahan sekadar menduduki tangga ketiga dengan tiga mata manakala Itali di tempat terakhir selepas tumpas mengejut kepada Slovakia.
Paraguay melakukan tiga penukaran daripada skuad yang menewaskan Slovakia, empat hari lalu dengan memasukkan Denis Caniza, Julio Cesar Caceres dan penyerang, Oscar Cardozo.
Skuad Kiwi pula masih mengekalkan pemain yang sama ketika seri dengan Slovakia dan Itali termasuk penjaga gol, Mark Paston walaupun pilihan pertama, Glen Moss telah melengkapkan penggantungan empat perlawanan.
Walaupun menguasai keseluruhan perlawanan, Paraguay gagal memberikan banyak ancaman kepada pertahanan All Whites.
Peluang terbaik dimiliki oleh Paraguay berpunca daripada sepakan sudut namun tandukan Cristian Riveros namun berjaya diselamatkan Paston pada minit ke-62.
Melihat kepada ketumpulan serangan, jurulatih Paraguay, Gerardo Martino, terpaksa melakukan penukaran penyerang dengan memasukkan Lucas Barrios dan Edgar Benitez menggantikan Oscar Cordozo dan Nelson Haedo Valdez.
All Whites yang menyedari hanya kemenangan sahaja mampu membawa mereka ke pusingan kalah mati, membawa masuk pemain muda West Brom, Chris Wood untuk menambah sengat di barisan serangan.
Perjudian Martino hampir membuahkan hasil apabila Paraguay dilihat lebih banyak menyerang dan New Zealand terpaksa bertahan dalam 20 minit terakhir permainan.
Namun, Paraguay tetap kempunan mendapatkan gol kemenangan selepas percubaan Roque Santa Cruz diselamatkan sekali lagi oleh Paston pada minit ke-80 dan terpaksa berpuas hati meraih satu mata.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!