Ivory Coast pasukan Afrika kelima tersingkir

June 26, 2010 by  

HASRAT Ivory Coast untuk melakukan misi mustahil bagi melayakkan diri ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila mereka gagal mencatat kemenangan besar ke atas Korea Utara sekali gus tersingkir daripada Piala Dunia 2010.

Ivory Coast hanya mencatat kemenangan 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G sedangkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan gol untuk memintas Portugal bagi mengiringi Brazil (juara kumpulan) ke peringkat kalah mati.

Lebih malang lagi, Portugal pula berjaya mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Brazil dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung serentak, ini bermakna Ivory Coast tidak dapat melakukan apa-apa kerana skuad ‘Brazil Eropah’ itu berkelebihan satu mata.

Bagaimanapun skuad The Elephants itu sejak dari awal lagi memberi amaran kepada Korea Utara yang sudah tersingkir, bahawa mereka amat memerlukan jaringan besar bagi mengikut jejak langkah satu lagi pasukan Afrika, Ghana.

Yaya Toure meletakkan Ivory Coast selepas menerima hantaran silang, Arthur Boka dan memperdayakan penjaga gol lawan, Ri Myong Guk untuk gol pertama Ivory Coast pada minit ke-14.

Selepas itu, pasukan bimbingan Sven-Goran Eriksson berjaya menambah gol kedua melalui Romaric apabila pemain tengah itu menanduk masuk bola lantunan rembatan Didier Drogba pada minit ke-20 yang terkena palang.

Kader Keita hampir menambah gol buat Ivory Coast hasil sepakan voli pada minit ke-31 tetapi tidak berjaya menemui sasaran, manakala Gervinho juga mengalami nasib yang sama tujuh minit berikutnya.

Ketika Ivory Coast sedang galak menyerang mereka hampir dihukum oleh penyerang Korea Utara, Jong Tae-Se pada minit ke-81, bagaimanapun dia tidak berjaya menempatkan bola dalam gawang lawan.

Gol ketiga Ivory Coast disumbangkan oleh Salomon Kalou pada minit ke-82, namun ia dilihat tidak membawa sebarang makna buat mereka, apabila mengetahui keputusan antara Brazil dan Portugal tidak berubah dan berakhir dengan keputusan seri.

Sementara itu, Eriksson berkata, dia berbangga dengan pasukannya walaupun mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

“Kami menjaringkan tiga gol dan tidak bolos. Kami berada dalam kumpulan yang sukar. Saya rasa kami melakukannya dengan baik, saya rasa pemain perlu berbangga dengan persembahan mereka,” katanya.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!