Nigeria uji kewibawaan Maradona

June 12, 2010 by  

JARANG sekali tanda soal besar menyelubungi Argentina pada permulaan Piala Dunia seperti yang berlegar terhadap barisan Diego Maradona apabila menentang Nigeria dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Ellis Park, hari ini.

Argentina kekal tanpa masalah kecederaan, tidak seperti Nigeria yang kehilangan tonggak tengah, John Obi Mikel, tetapi kecergasan bakal menjadi isu buat Lionel Messi selepas musim memenatkan di Barcelona dan faktor usia dan aksi penuh bertenaga Juan Sebastian Veron yang berusia 35 tahun.

“Semua 23 pemain berada dalam keadaan optimum,” kata doktor pasukan, Donato Villani dalam sidang akhbar, kelmarin.

Kini diletakkan sebagai antara pilihan selepas nyaris terlepas ketika kempen kelayakan tahun lalu, Argentina memiliki bakat untuk mara sehingga ke final tetapi anak buah Maradona kurang diketahui kekuatannya sebagai satu pasukan.

Mereka kelihatan memiliki gabungan pemain muda dan berpengalaman dengan perlawanan yang mempertemukan dua musuh lama daripada pembukaan Piala Dunia 2002 di Jepun yang menyaksikan Argentina menang 1-0 dengan Veron dan Nwankwo Kanu, yang dijangka bermula di bangku simpanan.

Kedua-duanya terlepas pusingan akhir 2006 di Jerman, Kanu kerana Nigeria tidak melayakkan diri manakala Veron diketepikan selepas dijadikan kambing hitam penyingkiran pusingan pertama di Asia.

Ketiadaan Mikel, bakat terbesar yang muncul dari Nigeria sejak penampilan terakhir mereka di Piala Dunia, akan dirasai, kata penyerang, Aiyegbeni Yakubu.

“Dia adalah pemain terbaik dalam pasukan, namun kami masih ada kualiti dalam pasukan ini,” kata Yakubu.

“Kami tidak berada di bawah tekanan, Argentina yang lebih tertekan, kami akan ke sana untuk menikmatinya.

“Saya rasa kami kini kembali ke prestasi terbaik. Saya tahu saya perlu menggalas tanggungjawab besar,” kata Yakubu yang dikenali kerana sering mensia-siakan peluang di depan pintu gol.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!