Maradona sedia ganding 3 penyerang

June 11, 2010 by  

JURULATIH Argentina, Diego Maradona dilihat bakal membariskan tiga penyerang pada aksi pembukaan Piala Dunia 2010 Kumpulan B menentang Nigeria esok.

Pastinya, penyerang Manchester City, Carlos Tevez, Lionel Messi (Barcelona) dan Gonzalo Higuain (Real Madrid) menjadi taruhan utama Maradona pada perlawanan tersebut.

Kelmarin, kumpulan wartawan dilarang untuk melihat dua sesi latihan pasukan itu.

Begitupun pegawai pasukan memberitahu Higuain dan Javier Mascherano masing-masing menjaringkan satu gol ketika menang 2-0 ke atas skuad simpanan Argentina.

Manakala skuad kedua Argentina menang 1-0 ke atas pasukan remaja hasil jaringan tunggal Sergio Aguero.

Argentina menjadi pasukan pilihan untuk mengetuai Kumpulan B yang turut menampilkan Greece dan Korea Selatan

Pada aksi menentang Nigeria, Maradona akan menggunakan khidmat Sergio Romero untuk mengawal gawang gol di belakang tiga pemain pertahanan iaitu Gabriel Heinze, Martin Demichelis dan Walter Samuel.

Jentera tengah bakal dikemudi Jonas Gutierrez, Angel Di Maria, Mascherano dan Juan Sebastian Veron.

Heiza berkata, Argentina semakin mantap selepas Maradona mencuba 107 pemain dalam usaha mengenalpasti kesebelasan utama skuad itu.

“Kami berada pada prestasi terbaik tanpa ada sebarang masalah dan bersedia untuk bermain.”

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!