JURULATIH England, Fabio Capello memulakan tugasnya untuk membina kembali pasukan England selepas Piala Dunia dengan memanggil dua pemain muda Arsenal, Jack Wilshere dan Kieran Gibbs serta penyerang Fulham, Bobby Zamora yang belum pernah menyarung jersi kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang Hungary, Rabu ini.
Capello menamakan 23 pemain, 10 daripadanya adalah 23 pemain yang beraksi di Afrika Selatan dengan bintang utamanya dikekalkan.
Antara yang tersisih adalah David James, penjaga gol berusia 40 tahun minggu ini dan Rob Green, dua pemain Tottenham Hotspur Aaron Lennon dan Jermain Defoe yang cedera, pemain pertahanan West Ham United, Matthew Upson dan pemain tengah Liverpool, Joe Cole.
Peter Crouch juga tersisih manakal Emile Heskey yang dikritik peminat England kerana persembahan tidak efektif bersara dari peringkat antarabangsa.
Wes Brown, Gary Cahill dan Phil Jagielka menjadi taruhan barisan pertahanan manakala Ashley Young, Darren Bent dan Carlton Cole bersaing dengan Zamora untuk bergandingan dengan Wayne Rooney di barisan serangan.
Dua pemain disingkirkan daripada barisan terakhir ke Piala Dunia iaitu Theo Walcott dan Adam Johnson turut dipanggil.
Perlawanan di Wembley satu-satunya peluang Capello menguji barisan barunya sebelum mengharungi pusingan kelayakan kejohanan Eropah 2012.
Pemain tengah kreatif Wilshere, 18, menjadi pemain termuda Arsenal dua tahun lalu dan menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di Bolton Wanderers setelah gagal mendapat tempat pasukan utama di bawah kendalian Arsene Wenger.
Gibbs, 20, pula pilihan utama kelabnya bermain di posisi pertahanan kiri sebelum patah kaki pada November yang menamatkan musim cemerlangnya.
Tags: Bobby Zamora, England, England vs Hungary, Fabio Capello, Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Perlawanan Persahabatan