WAKIL England, Tottenham menghadapi tugas sukar pada kempen sulung mereka kejohanan Liga Juara Eropah apabila diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Inter Milan.
Selain Inter Milan, Spurs turut perlu berdepan kelab Jerman, Werder Bremen dan wakil dari Belanda, FC Twente bimbingan bekas jurulatih England, Steve McClaren dalam kumpulan berkenaan.
Tiga lagi wakil England iaitu Chelsea, Manchester United dan Arsenal dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan apabila mendapat undian yang agak selesa.
Chelsea berada dalam Kumpulan F bersama kelab Perancis, Marseille, Spartak Moscow (Russia) dan MSK Zilina dari Slovakia.
Sementara Manchester United pula diundi bersama Valencia (Sepanyol), Rangers (Scotland) dan Bursaspor (Turki) dalam Kumpulan C.
Manakala Arsenal agak selesa dalam Kumpulan H bersama Shakhtar Donetsk (Ukraine), SC Braga (Portugal) dan FK Partizan (Serbia).
Perlawanan timbal balik pertama akan berlangsung mulai 14 September hingga 20 Oktober depan manakala perlawanan kedua dijadualkan pada 2 November hingga 8 Disember.
Inter Milan muncul juara Liga Juara Eropah musim lalu selepas menewaskan kelab Jerman, Bayern Munich 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu.
Tags: Inter Milan, Liga Juara Eropah, Tottenham, Undian Liga Juara Eropah, Video