Piala Dunia 2010 hambar?
June 16, 2010 by admin
PUSINGAN akhir Piala Dunia sudah lima hari berlalu dan 14 perlawanan telah berlangsung. Namun, saingan Piala Dunia 2010 masih bergelut untuk mencapai statusnya sebagai kejohanan terulung di muka bumi ini biarpun menampilkan deretan pemain bintang.
Setakat ini, kualiti persembahan permainan sepanjang tempoh tersebut dianggap sebagai sederhana.
Kelibat Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Fernando Torres dan Kaka lebih dibayangi oleh kehebatan cerita mengenai kebingitan vuvuzela yang kedengaran setiap kali perlawanan berlangsung.
Meskipun Brazil sudah turun beraksi iaitu dengan menewaskan Korea Utara 2-1 awal pagi semalam, debaran saingan Piala Dunia yang penuh klasik masih belum dirasai.
Perkara utama yang paling dibimbangi pastinya jumlah gol yang agak sedikit dijaringkan setakat ini.
Selain kemenangan besar Jerman menewaskan Australia 4-0, tiada pasukan lain berjaya menjaringkan lebih dua gol sambil dua perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.
Menurut statistik yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), tiada satu pun pasukan yang berjaya melakukan lebih daripada 10 percubaan tepat pada aksi pertama mereka.
Kebanyakan pemain pula menyalahkan bola rasmi kejohanan, Jabulani buatan Adidas dengan penjaga gol Brazil, Julio Cesar menganggap kualiti bola itu sama seperti bola yang dibeli di pasar raya.
Jabulani turut dikritik Iker Casillas dan Gianluigi Buffon.
Selain itu, turut mendapat kritikan ialah keadaan padang yang dianggap menyebabkan permainan berlangsung dengan begitu laju sekali gus menghalang pemain mempamerkan aksi normal mereka.
“Jangan tertipu dengan kecantikan padang ini pada pandangan kasar. Ia sebenarnya cukup licin dan menyebabkan pemain sukar mengawal bola,” kata jurulatih Itali, Marcello Lippi merujuk padang di Stadium Green Point, Cape Town.
Namun masih banyak perlawanan lagi yang bakal berlangsung selepas ini untuk menyemarakkan lagi saingan Piala Dunia 2010.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!