Pencapaian terburuk pasukan Eropah

June 27, 2010 by  

HANYA enam pasukan Eropah berjaya layak ke pusingan 16 terakhir pada Piala Dunia 2010 - satu pencapaian terburuk sepanjang zaman, selepas berakhirnya peringkat kumpulan kelmarin.

England kini bertemu Jerman jadi satu daripada pasukan itu akan tersungkur sebelum suku akhir.

Empat lagi pasukan Eropah yang terselamat - Belanda, Slovakia, Sepanyol dan Portugal - tidak pernah menjulang trofi itu tetapi Belanda adalah naib juara pada 1974 dan 1978 manakala Sepanyol adalah penyandang juara Kejohanan Eropah dan muncul sebagai antara pasukan pilihan.

Bagaimanapun keempat-empat pasukan terbabit juga akan bertembung sesama sendiri, sekaligus menyaksikan bilangan pasukan Eropah ke suku akhir mengecil kepada tiga.

Sepanyol akan berentap dengan Portugal manakala Belanda melayani cabaran Slovakia.

Brazil - yang mengumpul lima kejuaraan, dan Argentina serta Uruguay (masing-masing dua kejuaraan) juga kekal bersaing sebagai pasukan bekas juara.

Daripada baki tujuh negara itu, hanya Amerika Syarikat (pada 1930), Chile (1962) dan Korea Selatan (2002) pernah mara sehingga separuh akhir.

Mexico, Paraguay, Jepun dan Ghana melengkapkan pasukan pada pusingan kedua.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!