Prebiu: Uruguay vs Ghana

July 2, 2010 by  

Setelah 40 tahun menanti, Uruguay mahu memburu aksi ke separuh akhir menentang Ghana, yang turut menyimpan impian untuk mencatat sejarah buat benua Afrika.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Soccer City, menyaksikan pemenang dua kali Piala Dunia itu berjaya melepasi halangan hingga ke suku akhir sejak kali terakhir berbuat demikian pada 1970.

Sejak sekian lama, Uruguay dibayangi kehebatan Brazil dan Argentina, namun kali ini mereka berjaya melepasi segala halangan untuk berada pada kedudukan sekarang.

Uruguay, yang memenangi Piala Dunia pada 1930 dan 1950, memiliki barisan pertahanan yang kental, di samping tiga formasi serangan dengan Diego Forlan diletakkan di belakang Luis Suarez dan Edinson Cavani.

Jurulatih, Oscar Tabarez menukar kepada formasi tersebut setelah mereka terikat 0-0 dengan Perancis.

Malah, formasi itu ternyata berhasil apabila Forlan berjaya menjaringkan dua daripada tiga gol ketika Uruguay menewaskan tuan rumah, Afrika Selatan 3-0.

Uruguay juga menewaskan Mexico 1-0 menerusi jaringan Suarez yang turut meledakkan dua gol sewaktu menewaskan Korea Selatan 2-1.

”Sebagai jurulatih, dia amat tenang dengan pengalaman yang luas, dia tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan dengan baik sekali,” kata Forlan, yang mengulas mengenai Tabarez.

Uruguay terpaksa melakukan pertukaran di bahagian pertahanan setelah Diego Godin diketepikan, kerana kecederaan paha.

Namun, Forlan yang mengalami kecederaan jari kaki telah pun pulih sepenuhnya dan dia akan diturunkan dalam perlawanan menentang Ghana.

Ghana pula akan beraksi tanpa Jonathan Mensah dan Andre Ayew kerana digantung perlawanan, tetapi penyerang, Asamoah Gyan dijangka sembuh daripada kecederaan buku lali yang dialaminya ketika pertemuan pusingan kedua menentang Amerika Syarikat.

Di sebalik penggantungan dan kecederaan pemain, masalah paling besar yang terpaksa dihadapi Ghana ialah harapan menggunung yang diletakkan di bahu mereka oleh warga Afrika.

Namun, jurulatih Ghana, Milovan Rajevac berkata, potensi untuk muncul sebagai pasukan pertama benua Afrika layak ke separuh akhir akan meningkatkan semangat motivasi pasukannya.

”Sudah tentu kami berasa sedikit tertekan kerana kami kini beraksi pada pertandingan peringkat tertinggi, tetapi, kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang kami harungi. Kami akan memberikan persembahan yang maksimum,” katanya.

Rajevac memberitahu, pasukannya perlu lebih berhati-hati terhadap ancaman serangan Uruguay.

”Uruguay telah mempamerkan mutu permainan yang hebat. Mereka merupakan pasukan dari Amerika Selatan yang mana ramai pemain mereka beraksi di Liga Eropah. Malah mereka merupakan salah sebuah pasukan terbaik dunia. Mereka seharusnya dihormati dan Forlan pula adalah pemain yang bagus.

”Tetapi, kami akan mengekalkan gaya permainan yang membawa kejayaan besar kepada pasukan. Kami sesekali tidak akan mengubah gaya kami dan kami akan cuba mencari sebarang kelemahan yang ada pada lawan.

”Apa yang penting anda perlu berani menukar sistem permainan mengikut tuntutan perlawanan,” katanya.

Rajevac berjaya membawa Ghana hingga suku akhir, walaupun tanpa kelibat bintang Chelsea, Michael Essien yang terpaksa diketepikan kerana mengalami masalah kecederaan lutut kanan yang serius.

”Sewaktu saya tiba di Ghana, banyak yang perlu saya lakukan dan selepas usaha keras itu, anda boleh melihat hasilnya hari ini. Saya amat bangga dengan apa yang yang dilakukan sejak dua tahun lalu,” ujarnya.

*****

IMPIAN Ghana menjadi wakil pertama benua Afrika yang layak ke separuh akhir Piala Dunia, bergantung sepenuhnya terhadap keupayaan benteng pertahanan menangkis serangan Uruguay, pada pertemuan Ahad ini.

Ghana memikul harapan tinggi Afrika ketika Piala Dunia dianjurkan di benua tersebut, namun harapan tinggi itu memaksa Ghana melakukan penelitian terperinci terhadap kemampuan pasukan lawan, yang memiliki pemain ternama seperti Diego Forlan dan Luis Suarez.

Dua pemain itu telah menyumbang lima gol untuk Uruguay bergembira meraikan kejayaan terbesar sepanjang 40 tahun penyertaan mereka pada Piala Dunia.

Uruguay muncul juara peringkat kumpulan, sebelum ke suku akhir dengan mengalahkan Korea Selatan pada pusingan kedua.

Dengan kekentalan benteng pertahanan Uruguay, yang hanya membenarkan satu gol dibolosi, sepanjang empat perlawanan peringkat kumpulan, ia menjadi cabaran yang menakutkan terhadap impian tinggi Ghana.

Sebagai satu daripada enam pasukan dari benua Afrika yang mara ke pusingan kedua, Ghana perlu bersemangat untuk memulakan saingan suku akhir, jika tidak mahu mengecewakan harapan benua Afrika.

”Adalah penting kepada kami untuk menang, kerana kami tahu seluruh Afrika berbangga dengan kami dan kami bermain di bumi sendiri,” kata ketua pasukan, John Mensah.

Namun, jurulatih Ghana, Milovan Rajevac berkata, rasa gentar mungkin akan memberi kesan terhadap pemainnya, akibat harapan menggunung yang disandarkan kepada pasukan itu.

Dia yang seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitan perkara tersebut hanya berkata: ”Pemain hanya perlu menumpukan perhatian terhadap apa yang berlaku di atas padang. Tidak ada sebarang tekanan.”

Rajevac terpaksa membuat dua perubahan barisan pemain kerana Dede Ayew dan Jonathan Mensah digantung perlawanan.

Isacc Vorsah akan kembali beraksi, setelah pulih daripada kecederaan belakang dan akan menggantikan Mensah.

Vorsah juga akan menjadi kunci kepada Ghana untuk menyekat kemaraan Forlan dan Suarez.

Posisi Ayew akan digantikan Sulley Muntari, yang sebelum ini hanya menjadi pemain gantian. Dia berpotensi untuk meningkatkan kekuatan Ghana.

Sementara itu, jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez telahpun menamakan kesebelasan pemainnya, kelmarin.

Mauricio Victoria akan menggantikan Diego Gordin di bahagian pertahanan dan Alvaro Fernandez menggantikan Alvaro Pereira di posisi tengah.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!