Penalti bawa tuah buat Ghana

June 14, 2010 by  

SEPAKAN penalti, Asamoah Gyan lima minit sebelum tamat perlawanan memberikan Ghana kemenangan 1-0 ke atas Serbia dan kemenangan pertama buat pasukan Afrika pada saingan Piala Dunia 2010, malam tadi.

Gyan melepaskan sepakan padu selepas pemain gantian Serbia, Zdravko Kuzmanovic menampan bola dengan tangan dalam kotak penalti, pada minit ke-85.

Sebelas minit terdahulu, pertahanan Serbia, Aleksandar Lukovic dibuang padang kerana dilayang kad kuning kedua.

Ghana mendahului Kumpulan D dengan tiga mata menjelang perlawanan kedua kumpulan di antara Jerman dan Australia, awal pagi tadi.

Aksi kedua-dua pasukan agak seimbang di separuh masa pertama, namun Ghana lebih banyak mencipta gerakan. Ghana memperoleh peluang pertama pada minit ke-2 tapi rembatan Anthony Annan gagal menepati sasaran.

Seminit selepas itu, terjahan keras Dejan Stankovic ke atas Prince Tagoe di luar kotak penalti mengundang bahaya, tetapi Serbia bernasib baik kerana sepakan percuma yang diambil Asamoah Gyan melewati palang gol yang dikawal Vladimir Stojkovic.

Pada minit ke-15, Ghana memperoleh peluang terbaik apabila Kwadwo Asamoah tidak dikawal berjaya menyusup ke dalam kotak penalti Serbia dan melepaskan rembatan kencang, namun Nemanja Vidic berjaya melayangkan badan dan menolak keluar bola itu.

Serbia turut berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-27, menerusi sepakan percuma di tengah padang. Tapi set piece Stankovic gagal disempurnakan Marko Pantelic ketika dia tidak dikawal pertahanan Serbia yang menyaksikan separuh masa pertama berkesudahan 0-0.

Bersambung babak kedua, Ghana mula nampak lebih garang, apabila gerakan dicipta Tagoe gagal ditanduk kemas Andrew Ayew pada minit ke-53.

Selepas itu, giliran Serbia beroleh peluang keemasan pada minit ke-59. Hantaran lintang cantik Pantelic tepat singgah kepada Nikola Zigic tetapi penyerang itu tidak dapat melepaskan rembatan ketika hanya berdepan penjaga gol Richard Kingson.

Lebih malang, permainan kasar kedua-dua pasukan akhirnya mengundang padah apabila Lukovic dilayangkan kad kuning kedua, lalu diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Argentina, Hector Baldassi.

Milos Krasic yang mempunyai peluang terhidang melepaskan rembatan deras pada minit ke-79, tetapi sepakannya tepat ke arah Kingson, memaksa peminat yang membanjiri Stadium Loftus Versfeld terus kecewa.

Bagaimanapun suasana stadium yang dibanjiri penyokong Ghana ceria dengan kibaran bendera merah, kuning dan hijau sebaik mereka dianugerahkan sepakan penalti apabila pemain Kuzmanovic menahan bola dengan tangan dalam kotak penalti pada minit ke 83.

Gyan yang mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang menyumbat masuk gol pertama Ghana untuk menewaskan Stojkovic.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!