Sepanyol hadapi Switzerland tanpa Torres
June 16, 2010 by admin
SEPANYOL akan membuka tirai saingan Kumpulan H Piala Dunia menentang Switzerland, malam ini dengan penuh keyakinan biarpun kecergasan dua bintangnya, Fernando Torres dan Andres Iniesta masih menjadi tanda tanya.
Skuad yang mempunyai ramai barisan pemain berbakat itu disebut-sebut sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia di Afrika Selatan.
Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque berkemungkinan besar tidak akan menurunkan Torres yang baru sembuh daripada pembedahan lutut, sebaliknya menaruhkan David Villa sebagai penyerang utama.
Andres Iniesta pula kelihatan akan pulih daripada kecederaan paha sekali gus menyaksikan dia bakal beraksi bersama-sama Cesc Fabregas atau Juan Mata.
Sementara itu, Switzerland turut dibayangi kehilangan pemain tengah, Valon Behrami yang mengalami kecederaan paha serta kapten pasukan, Alex Frei yang cedera buku lali.
Justeru, jurulatih Ottmar Hitzfeld bakal menggandingkan Eren Derdiyok dan Blaise Nkufo di barisan hadapan sekiranya ia kekal dengan keputusannya untuk mengatur strategi 4-4-2.
Switzerland sebelum ini mengalami tiga kekalahan berterusan dalam perlawanan persahabatan sebagai persediaan ke Piala Dunia tetapi tidak pernah menewaskan Sepanyol.
Sepanyol pula hanya tewas sekali dalam tempoh tiga tahun lalu kepada Amerika Syarikat (AS) pada Piala Konfederasi 2009 di Afrika Selatan.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!