Sepanyol benam Poland 6-0
June 10, 2010 by admin
MESKIPUN baru pulih daripada kecederaan, Fernando Torres masih mampu menjaringkan satu gol untuk membantu Sepanyol membelasah Poland 6-0 pada aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2010 kelmarin.
Penyerang Liverpool berusia 26 tahun yang menjalani pembedahan lutut pada April lalu, meledakkan gol kelima juara Eropah itu pada minit ke-76.
Gol Torres itu adalah yang ke-24 di pentas antarabangsa dan ia hadir cuma 10 minit selepas dia masuk pada babak kedua bagi menggantikan David Villa.
“Hampir dua bulan saya tidak bermain, jadi sudah tentu saya gembira untuk menjaringkan gol itu,” kata Torres.
“Ia juga merupakan satu persembahan yang mengagumkan daripada pasukan.”
Sementara itu, jurulatih Vicente Del Bosque juga mengakui dia berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pasukan.
“Kami telah melengkapkan persiapan dan kami pergi ke Afrika Selatan dengan semangat yang tinggi,” katanya.
Pada pertemuan kelmarin, Villa dan David Silva meletakkan Sepanyol di hadapan masing-masing pada minit ke-12 dan 14 sebelum Xabi Alonso menambah gol ketiga pada minit ke-51.
Cesc Fabregas yang masuk sebagai pemain gantian untuk menggantikan tempat Xabi menyumbat gol keempat pada minit ke-58 sebelum Pedro melengkapkan kemenangan besar Sepanyol pada minit ke-80.
Sepanyol yang menewaskan Arab Saudi 3-2 dan Korea Selatan 1-0 pada aksi persahabatan baru-baru ini lebih banyak menguasai permainan berbanding Poland.
Manakala penjaga gol, Iker Casillas hanya diuji pada minit ke-26 menerusi percubaan Slawomir Peszko.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!