Sepanyol 2 Honduras 0

June 22, 2010 by  

DAVID Villa terlepas peluang memahat nama selaku penjaring hatrik apabila gagal menyempurna sepakan penalti, namun dua jaringannya sudah cukup buat Sepanyol bangkit daripada kekalahan perlawanan pertama untuk menewaskan Honduras 2-0 dalam aksi Kumpulan H di Stadium Ellis Park, Johannesburg sebentar tadi. [LIHAT VIDEO]

Selepas percubaan pertamanya terkena palang gol pada minit ketujuh, Villa yang baru menandatangani kontrak dengan Barcelona untuk musim depan mempamer kelasnya yang tersendiri apabila menjaring dua gol menarik pada setiap separuh masa bagi memastikan Sepanyol kembali di landasan untuk ke pusingan kedua Piala Dunia 2010.

Villa menyempurnakan jaringan pada minit ke-17 dan 51, namun dia melepaskan peluang terbaik untuk menjaring gol ketiga apabila tendangan penaltinya sedikit tersasar ke arah kiri pintu gol Honduras ketika penjaga gol sudah pun tertewas.

Sepanyol kini naik ke tangga kedua Kumpulan H dengan tiga mata, mengatasi Switzerland dengan kelebihan jurang gol dan mampu mara ke pusingan kedua sebagai juara kumpulan jika dapat menewaskan Chile bergantung jumlah jaringan yang mampu dihasilkan dalam perlawanan terakhir, awal pagi Sabtu nanti.

Jika Switzerland gagal menewaskan Honduras dalam satu lagi perlawanan, maka Sepanyol hanya perlu menang 1-0 untuk mengatasi Chile bagi mengelak pertembungan dengan juara Kumpulan G yang dijangka adalah Brazil.

Jika ia menjadi kenyataan, maka final impian Brazil-Sepanyol mungkin akan menjadi kenyataan, bergantung kepada aksi masing-masing di peringkat kalah mati nanti.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!