Profil Pasukan: Sepanyol
June 1, 2010 by admin
DIBARISI pemain-pemain berstatus bintang dunia, Sepanyol pastinya tampil sebagai sebuah skuad yang mantap menjelang pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, 11 Jun nanti.
Skuad yang diberi jolokan La Roja ini dilihat mampu mencipta kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila diletakkan selaku pasukan pilihan pada edisi ke-19 kali ini.
Ini merupakan penampilan ke-13 Sepanyol dalam kempen Piala Dunia dan keputusan terbaik yang pernah dicatatkan mereka adalah menduduki tempat keempat pada kempen 1950 di Brazil.
Disebabkan itu, Sepanyol yang kini dibimbing oleh Vicente del Bosque ada misi besar untuk dilaksanakan pada kempen yang akan berlangsung di bumi Afrika itu.
Hasrat mereka adalah untuk menjulang trofi Piala Dunia yang sudah pastinya menjadi impian seluruh pasukan di muka bumi ini.
Jika dilihat terhadap rekod pencapaian skuad La Roja pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 sebelum ini dan berbekalkan barisan pemain yang dimiliki, mereka dilihat tidak berdepan halangan sukar untuk merealisasikan impian tersebut.
Pada kempen kelayakan, Sepanyol berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan merupakan pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol dalam saingan peringkat Eropah dengan merekodkan 28 gol secara keseluruhannya.
Tatkala Brazil, Itali, Argentina, Jerman, England dan Uruguay telah pun terlebih dahulu merasai kehangatan trofi berprestij itu, kini tiba giliran Sepanyol untuk mencatatkan nama selaku pasukan yang bergelar juara.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi yang dialami La Roja ketika ini, jurulatihnya, del Bosque pastinya dilanda keresahan apabila memikirkan masalah kecederaan yang menghantui beberapa tonggak utama skuad tersebut.
Antaranya Fernando Torres, Cesc Febregas, Xavi dan Andres Iniesta yang semuanya terlepas aksi penghujung musim saingan liga bersama kelab masing-masing berikutan kecederaan.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh del Bosque, namun tetap optimis bahawa semua pemain tersebut akan pulih sepe- nuhnya sebelum kempen Piala Dunia 2010 membuka tirainya 11 Jun depan.
“Tidak dinafikan memang saya berasa bimbang apabila memikirkan mengenai kecederaan yang dialami pemain dalam skuad ini (Sepanyol) dan yang lebih malangnya mereka semua merupakan penggerak utama pasukan ini.
“Yang pasti, saya tidak mempunyai pilihan dan telah pun menyenaraikan mereka dalam skuad 23 pemain yang akan dibawa ke Afrika Selatan nanti.
“Ia berdasarkan laporan perubatan yang diterima daripada doktor dan juga jurulatih fizikal pasukan yang menyatakan semua pemain terbabit akan pulih sepenuhnya sebelum kami menghadapi perlawanan pertama,” jelas del Bosque.
Terdahulu, del Bosque telah pun mengumumkan 23 barisan pemain yang bakal menggalas cabaran Sepanyol pada pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan kali ini.
Daripada 30 pemain awal yang disenaraikan, tujuh pemain telah digugurkan dan antaranya ialah Diego Lopez, David De Gea, Cesar Azpilicueta, Marcos Senna, Santi Cazorla, Dani Guiza dan Alvaro Negredo.
“Agak sukar sebenarnya bagi saya untuk mengumumkan senarai 23 pemain yang akan dibawa ke Afrika Selatan kali ini kerana mereka telah mempamerkan persembahan yang begitu konsisten sepanjang menjalani latihan pusat.
“Namun, saya tidak mempunyai sebarang pilihan kerana pemain yang telah disenaraikan merupakan yang terbaik di kalangan terbaik,” kata del Bosque.
Dengan pengumuman tersebut, kini semuanya terletak di bahu anak-anak buah del Bosque yang telah disenaraikan bagi menentukan hala tuju skuad La Roja pada Piala Dunia kali ini.
Sekiranya faktor pemain yang diambil kira, Sepanyol dilihat tidak mempunyai alasan untuk tidak menjulang trofi berprestij itu, sekali gus menamatkan kemarau selama 80 tahun untuk berbuat demikian.
Sepanyol yang merupakan juara Kejohanan Eropah 2008 diundi dalam Kumpulan H yang mana dijadual menentang Switzerland, Chile dan Honduras.
Jika dibuat penilaian, skuad La Roja dijangka mudah untuk muncul juara dalam kumpulan tersebut dan sekali gus layak ke pusingan kedua yang mana bakal menemukan 16 pasukan terbaik dunia.
“Kami memiliki barisan pemain yang telah terbukti kualiti mereka, namun pasukan-pasukan lain diluar sana juga tidak kurang hebatnya.
“Disebabkan itu, kami perlu bekerja keras bagi menjulang trofi Piala Dunia kali ini,” tambah del Bosque. (LAGI INFO/PROFIL/SENARAI PEMAIN PASUKAN SEPANYOL)
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!