Prebiu: Sepanyol vs Portugal

June 29, 2010 by  

PERTEMUAN menentang negara jiran, Portugal pada pusingan kedua esok mampu menjadi gelanggang paling sempurna buat bintang penyerang Sepanyol, Fernando Torres untuk menyinar selepas tenggelam dalam tiga perlawanan pertama.

Torres setakat ini masih belum mempamer sentuhan terbaiknya, iaitu sentuhan yang telah membawa Sepanyol merangkul kejuaraan Eropah (Euro) 2008.

Baru pulih daripada pembedahan lutut, penyerang Liverpool itu jelas tidak cergas sepenuhnya dan dibayangi oleh kehebatan gandingan serangan, David Villa yang lebih menonjol dengan menyumbat tiga gol dalam perlawanan Kumpulan H.

Torres, sebaliknya banyak mensia-siakan peluang dan tidak menampakkan reputasi sebenarnya sebagai penyerang digeruni dan penyumbang gol kemenangan Sepanyol ketika mengalahkan Jerman pada final Euro 2008.

“Tidak mudah untuk kembali beraksi ditahap sebenar selepas menjalani pembedahan.

“Saya rasa saya masih memerlukan sedikit masa untuk kembali cergas seratus peratus, walaupun sudah menghampirinya tetapi ia belum sampai ke situ,” kata pemain berusia 26 tahun itu dalam wawancara dengan radio Sepanyol.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, bagaimanapun tetap tidak berputus asa dengan Torres, malah dijangka terus menggandingkan pemain itu bersama Villa apabila berdepan Portugal.

Meskipun mengakui amat sukar untuk Torres menjaringkan gol tetapi Del Bosque percaya, pemain itu tetap memainkan peranan penting untuk menarik perhatian dan mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

“Apa yang penting dia telah bermain dalam tiga perlawanan terdahulu, dia telah menunjukkan kemajuan dalam persediaannya yang lebih baik kali ini.

“Torres mungkin tidak menjaringkan gol tetapi dia membantu kami dengan menjadi ancaman kepada pertahanan lawan. Dia sering menjadi pemain yang amat berbahaya apabila menembusi kubu lawan,” kata Del Bosque.

Sepanyol dan Portugal, yang belum pernah bertemu pada pusingan akhir Piala Dunia berpeluang untuk menguji kemampuan satu sama lain di Stadium Green Point, Cape Town untuk mencari tiket suku akhir.

Pada ketika Del Bosque dijangka kehilangan tonggak tengah, Xabi Alonso, jurulatih Portugal, Carlos Queiroz pula berdepan masalah kecederaan pemain sayap, Danny, yang belum pulih daripada kecederaan paha kiri.

Pemain tengah Portugal, Deco yang terlepas dua perlawanan peringkat kumpulan kerana masalah pinggul, bagaimanapun dijangka kembali beraksi.

*****

PORTUGAL tidak ada perasaan gentar berdepan Sepanyol pada perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia 2010 awal pagi esok.

Skuad yang mendapat jolokan The Navigators itu sedar tentang kehebatan Sepanyol tetapi ia bukan alasan untuk mereka menyerah.

Pemain sayap Portugal, Simao menyedari hakikat bahawa mereka akan bertembung salah satu pasukan hebat dunia, namun mereka tidak mudah gentar.

“Mereka adalah salah sebuah pasukan yang hebat di dunia,” kata Simao.

“Mereka mempunyai corak permainan seperti Barcelona selain mempunyai ramai pemain dari kelab Barcelona.

“Namun begitu, peluang masih lagi 50-50. Kami masih menghormati mereka dan pada masa yang sama, kami tidak gentar.

“Kami juga adalah pasukan yang hebat dan untuk muncul sebagai yang terhebat, kami perlu menewaskan Sepanyol.

“Sepanyol merupakan juara Eropah tetapi kami juga mempunyai kualiti tersendiri.”

Sepanyol sebelum ini pernah tewas dengan Switzerland 0-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan H dan bagi Simao, petua untuk menewaskan anak-anak buah Vicente del Bosque adalah dengan memberi mereka tekanan dan serangan balas.

“Anda perlu menjadi agresif tetapi bukan sehingga mencetuskan kesilapan. Ia lebih kepada memberi tekanan semasa membawa bola dan bermain dengan gaya tersendiri,” kata Simao.

“Mereka sering mendapat bola tetapi ia tidak bermakna mereka akan menang.

“Mungkin ia hanya taktik. Mereka juga adalah pasukan yang agak tersusun.”

Get the Flash Player to see this content.

*****

Comments

One Response to “Prebiu: Sepanyol vs Portugal”

  1. ying&yang on June 30th, 2010 4:54 pm

    pengadil perlawanan antara spain vs portugal seperti ada pilih kasih sedikit terhadap perlawanan tersebut..dan mata pengadil tersebut betul-betul tidak tertumpu pada bola dan pemain yang membawa bola tersebut!!mungkin sebab itu portugal boleh kalah..

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!