Prebiu: Sepanyol vs Honduras

June 21, 2010 by  

TERSENTAK dengan kekalahan mengejut 0-1 kepada Switzerland Rabu lalu, Sepanyol kini sudah sedia untuk bangkit pada aksi kedua Kumpulan H menentang Honduras awal pagi esok.

“Kami sudah melupakan kekalahan kepada Switzerland dan cuma fokus sepenuhnya untuk bertemu Honduras.

“Kami hormati kemampuan Switzerland. Mereka pasukan yang bagus dan bermain dengan cara mereka. Kami juga ada cara kami tetapi ia tidak menjadi pada perlawanan itu.

“Mungkin jika kami menjaringkan gol terlebih dahulu, keputusan perlawanan akan berubah. Tetapi mereka mendahului dan kami gagal bangkit mencari gol penyamaan,” kata pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso.

Ternyata pada pertemuan tersebut, barisan pertahanan Switzerland cukup kebal bertahan biarpun Xabi dan rakan-rakannya terus menguasai perlawanan dan bertukar-tukar hantaran tetapi tetap gagal menemui jaringan.

“Kami cuma gagal menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. Jadi kini kami perlu menewaskan Honduras dengan perlu lebih bersabar di atas padang.

“Kami sedar Honduras bukan lawan yang mudah tetapi kami perlu kawal rentak perlawanan dan jika kami dibolosi terlebih dahulu, kami perlu lebih tenang dan tidak hilang fokus,” jelas Alonso.

Terdapat pendapat yang mengatakan moral pasukan Sepanyol kini menurun disebabkan beban harapan tinggi yang ditanggung untuk mengatasi rekod silam mereka dalam sejarah Piala Dunia.

Bagaimanapun, Alonso menafikan perkara tersebut sambil menegaskan: “Kami tiada pilihan kecuali menang dan untuk melakukannya, kami perlu menampilkan aksi lebih menyerang bermula dari minit pertama.

“Mungkin terdapat perspektif yang berbeza apabila kami kurang menjadi di atas padang. Tetapi terlalu awal untuk anggap ini sumpahan Piala Dunia kerana masih ada masa untuk kami betulkan keadaan.

“Diharapkan semuanya akan berubah dalam beberapa hari ini,” ujarnya.

Sementara itu jurulatih Sepanyol, Vicente Del Bosque memberitahu jika ada perubahan pada kesebelasan utama menentang Honduras, ia hanyalah kecil.

“Kami perlu mengukuhkan semula diri kami, meraih keyakinan dan percaya pada sebegitu banyak kejayaan yang diberikan pada masa lalu.

“Kami jangkakan (Honduras) merapati taraf namun di sebaliknya, mereka juga membuka beberapa perkara dan kami akan mengambil kesempatan daripada ruang itu.

“Pasukan ini memiliki prestasi yang menarik dan kini memburu enam kemenangan. Inilah pesanan yang saya sampaikan kepada pemain. Tiada sebab untuk menoleh belakang, cuma ke depan.

“Yang baiknya daripada kejutan ini ialah lebih baik gagal pada awal daripada akhir,” tambahnya.

Del Bosque mungkin masih membayangkan Piala Dunia 2006 di Jerman apabila Sepanyol memenangi ketiga-tiga perlawanan kumpulan mereka, termasuk membelasah Ukraine 4-0 dalam perlawanan pertama mereka, sebelum kalah kepada naib juara kemudiannya Perancis dalam pusingan kedua.

Dalam pada itu, jurulatih Honduras, Reinaldo Rueda menjangkakan Sepanyol yang terluka, bakal keluar berjuang tetapi jika pemainnya bekerjasama, mereka mampu mencipta satu lagi kejutan yang bakal meninggalkan harapan Sepanyol memenangi Piala Dunia.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!