David Villa wira kebangkitan Sepanyol
June 23, 2010 by admin
PENYERANG baru Barcelona, David Villa enggan meletakkan faktor ‘tertekan’ yang menyebabkannya gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua yang turut menafikan hatrik ketika Sepanyol menumbangkan Honduras 2-0.
Selepas tewas mengejut 1-0 kepada Switzerland dalam perlawanan pembukaan, Villa memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya untuk mencetak kemenangan penting ke atas pasukan kerdil, Honduras di Ellis Park awal pagi semalam, yang memberikan tiga mata berharga dalam saingan Kumpulan H.
Barisan pemain Honduras bagaikan hilang punca ketika dilanda serangan bertubi-tubi Sepanyol dan Villa menyinar dengan dua jaringan pada minit ke-17 dan 51 namun gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-62 apabila sepakannya tersasar jauh ke sebelah kanan tiang gol.
“Saya hanya terlepas satu sepakan. Saya sudah berlatih melakukan sepakan penalti sepanjang hidup saya namun saya tersasar kali ini,” kata penyerang 28 tahun yang baru menyertai Barca, bulan lalu. “Kami sedang mendahului 2-0 ketika itu, jadi tiada tekanan.”
Juara Euro 2008 itu gagal menyinar di Afrika Selatan setakat ini dan Villa berkata, perjalanan masih jauh buat Sepanyol untuk menjulang gelaran pertama Piala Dunia.
“Kami masih perlu menumpaskan Chile, dan perjalanan masih jauh untuk kami memikirkan mengenai Piala Dunia,” katanya.
Sepanyol kini perlu menumpaskan Chile, yang menewaskan Switzerland 1-0, Isnin lalu manakala Honduras juga masih boleh layak sekiranya mengalahkan Switzerland.
Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!