Portugal tiada masalah atasi Mozambique

June 10, 2010 by  

PORTUGAL menjaringkan semua gol dalam separuh masa kedua ketika mengatasi Mozambique 3-0 dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Wanderers, kelmarin.

Namun, keputusan itu tidak mencetus gelisah sebaliknya pengurusan bertambah perit selepas bintang sayap, Nani yang beraksi bersama Manchester United terkeluar awal daripada saingan 11 Jun sehingga 11 Julai itu akibat cedera tulang selangka.

Nani kelihatan sedih ketika duduk bersebelahan dengan bekas bintang Portugal kelahiran Mozambique, Eusebio yang menyelamatkan pasukan itu dengan menjaringkan empat gol ketika menewaskan Korea Utara 5-3 dalam suku akhir Piala Dunia 1966.

Nani yang lahir di Cape Verde dan menjaringkan empat gol dalam 34 perlawanan termasuk tiga ketika pusingan kelayakan ke Afrika Selatan akan digantikan dengan Ruben Amorim dari Benfica.

“Ia sangat menyedihkan,” kata jurulatih Portugal Carlos Queiroz. “Tetapi apa yang lebih penting melihat bagaimana pasukan bersatu dan bermain bersama untuk mengatasinya.”

Queiroz bagaimanapun gembira dengan aksi yang dipamerkan perancang Pepe selepas pemain Real Madrid itu kembali bermain selepas berehat enam bulan akibat kecederaan lutut.

“Ia adalah menakjubkan. Dengan bantuan doktor Real Madrid, Persekutuan Bola Sepak Portugal dan kakitangan teknikal pasukan kebangsaan, kami melakukannya dengan cermat serta berhati-hati,” kata jurulatih itu.

-Berita Harian

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!