Perancis dalam tekanan

June 10, 2010 by  

PERANCIS - barisan yang berada dalam tekanan - akan melayan aksi pembukaan Piala Dunia menentang Uruguay, esok dengan kesedaran hanya kemenangan bakal mengembalikan keyakinan kepada kemampuan mereka mempamer kebangkitan di Afrika Selatan.

Selepas tewas mengejut 1-0 kepada China dalam sesi pemanas badan, minggu lalu yang kemudian diteruskan dengan kemenangan 2-1 ke atas Costa Rica sebelum seri 1-1 bertemu Tunisia, menyaksikan ‘Les Bleus’ memulakan kempen awal di Stadium Green Point dengan situasi kurang meyakinkan.

Pasukan ini masih dianggap jelik selepas isu ‘tangan’ Thierry Henry pada aksi play-off menentang Ireland dan jika itu masih belum mencukupi, skuad Perancis kemudian digoncang isu skandal seks dikaitkan dengan beberapa pemainnya, termasuk bintang, Franck Ribery, yang melanggan pelacur di bawah umur.

Apapun, jurulatih kurang popular, Raymond Domenech berkata skuad bimbingannya akan bangkit daripada masalah.

“Untuk tewas kepada pasukan China dalam perlawanan pemanas badan memang menghampakan saya namun akhirnya, ia tetap perlawanan persiapan,” katanya. “Kini, kami bersedia untuk perlawanan sebenar.”

Ditanya sama ada dia akan merombak kembali barisan pemain utama, Domenech memberitahu stesen televisyen Perancis: “Semuanya tidak mustahil.”

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!