Perancis, Afrika Selatan tersingkir

June 23, 2010 by  

AFRIKA Selatan muncul pasukan tuan rumah pertama gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia sekali pun berjaya menundukkan Perancis 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Free State sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah terpaksa berpuashati sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan yang hanya dibezakan dengan jurang gol dengan Mexico yang tewas kepada Uruguay 0-1 dalam satu lagi aksi yang berlangsung serentak.

Manakala Perancis pula menamatkan saingan di tangga terbawah kumpulan dan hanya memungut satu mata dan menjaringkan satu gol, lebih baik ketika mereka diaibkan pada Piala Dunia 2002 tanpa menjaring sebarang gol.

Gol pembukaan Afrika Selatan diperoleh menerusi tandukan Bungani Kumalo pada minit ke-20 selepas mendapat bola sepakan sudut.

Selang lima minit kemudian, Perancis menerima kejutan kedua apabila pemain tengahnya, Yoann Gourcuff diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah.

Derita Perancis ditambah lagi menerusi jaringan kedua Afrika Selatan pada minit ke-37 menerusi penyerang Katlego Mphela.

Pasukan bimbingan Raymond Domenech yang menerima kritikan hebat itu hanya memperoleh gol sagu hati menerusi Florent Malouda pada minit ke-70.

Perancis hanya memperoleh satu mata tunggal selepas seri dengan Uruguay pada perlawanan pembukaan kumpulan sebelum ini.

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!